Sebuah lagi pemaju hartanah dakwa Pulau Pinang tidak mesra pelabur
Pemaju hartanah dalam Kumpulan Low Yat Asia Pacific Land Berhad hari ini mendedahkan kekecewaannya dalam menjalankan perniagaan di Pulau Pinang dan menyokong kecaman terhadap kerajaan negeri oleh peneraju utama kumpulan itu Tan Sri Low Yow Chuan.
Pemaju hartanah dalam Kumpulan Low Yat Asia Pacific Land Berhad hari ini mendedahkan kekecewaannya dalam menjalankan perniagaan di Pulau Pinang dan menyokong kecaman terhadap kerajaan negeri oleh peneraju utama kumpulan itu Tan Sri Low Yow Chuan.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Pengarah Tanah AP Loke Mun Kit berkata: "Jika tiada angin masakan pokok bergoyang".
"Jika tak ada isu (dengan kerajaan negeri), mengapa harus kami ada-adakan? Kami mahukan hubungan lebih akrab dengan pihak berkuasa dan kami mahukan mereka mesra pelabur.
"Pembangunan perumahan bermodal besar dan kami terpaksa membelanjakan kos pegangan dan overhead yang tinggi jika projek mengambil masa lama untuk diluluskan. Kami tidak meminta kelulusan sekelip mata tetapi tempoh munasabah untuk meluluskan projek," katanya.
Menurut laporan Bernama, Loke berkata syarikat itu mempunyai projek di Kuala Lumpur dan Selangor dan kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan di sana lebih cepat berbanding Pulau Pinang.
"Terus terang, ini pandangan umum di kalangan pemaju yang menjalankan projek di Pulau Pinang. Mereka kata Pulau Pinang paling sukar. Saya tidak fikir Pulau Pinang mesra pelabur," katanya.
Low, dalam interbiu muka depan New Straits Times semalam berkata "beliau sudah serik dengan kerenah birokrasi" di Pulau Pinang dan hampir-hampir menarik diri dari memjalankan sebarang projek di pulau itu.
Tokoh perniagaan berusia 72-tahun itu ialah pengerusi eksekutif Kumpulan Low Yat yang membina Federal Hotel di Kuala Lumpur dan Ferringhi Beach Hotel di Pulau Pinang.
Lanjut DO enam kali
Projek yang menyebabkan beliau akhirnya hilang sabar ialah cadangan blok kondominium 24-tingkat berhampiran Hotel E&O yang bersejarah.
Menurut laporan akhbar, 10 tahun selepas diluluskan dan setelah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk kerja menanam cerucuk dan kejuruteraan sebagai memenuhi syarat majlis tempatan, pihak berkuasa Pulau Pinang memberitahu beliau agar mengurangkan ketinggian bangunan ke lapan tingkat.
Datuk Dr Teng Hock Nan, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik, Maklumat dan Perhubungan Masyarakat Negeri, berkata kenyataan Low itu tidak adil kerana penangguhan projek disebabkan oleh keputusan Kumpulan Low Yat menangguhkan pembinaan sebanyak lapan kali.
Loke, dalam responnya, berkata syarikat itu memohon satu perintah pembangunan (DO) bagi projek itu dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 1992.
Beliau berkata projek itu ditunda kerana hotel-hotel muncul seperti cendawan tumbuh di pulau itu sebelum semua kelulusan diberikan.
"DO diberikan pada 1995. Pelan bangunan kami tidak diluluskan dalam tempoh sahih -- biasanya setahun selepas kelulusan DO.
"MPPP melanjutkan DO enam kali dan pelan bangunan akhirnya diluluskan pada Mac 1999, ketika mana pasaran sudah berubah dengan wujudnya bekalan hotel berlebihan dan kami terpaksa menukar cadangan kepada apartmen perkhidmatan dan kondominium.
"Hingga kini, kami masih tidak jelas tentang garispanduan dan syarat pihak berkuasa tempatan mengenai cadangan seperti itu dalam kawasan ini sekalipun kami telah menulis kepada mereka lebih awal," kata Loke.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.