Dr Mahathir: Kereta import murah jejas dayasaing Proton
Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa kereta siap terpasang (CBU) yang diimport ke negara ini pada harga di bawah paras kos, menjejaskan daya saingan pembuat kereta nasional itu.
Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa kereta siap terpasang (CBU) yang diimport ke negara ini pada harga di bawah paras kos, menjejaskan daya saingan pembuat kereta nasional itu.
"Saya tidak tahu setakat mana benarnya...kereta CBU diimport pada harga di bawah paras kos dan adakalanya lebih rendah daripada kos bahan mentah," katanya.
Dalam senario sedemikian, katanya, "ramai orang berkata Proton mendapat perlindungan, tetapi kita kadang-kadang mempertikaikannya."
Oleh yang demikian, harus ada kedudukan yang saksama dalam persaingan, katanya ketika diminta mengulas tentang jualan kereta dan prestasi eksport Proton serta sebab-sebab beliau mahu senarai penerima Permit Import (AP) diumumkan kepada orang ramai.
"Kita tidak faham ini (kereta dijual di bawah paras kos). Itulah sebabnya kita minta senarai AP didedahkan kepada umum, jadi kita tahu sama ada kereta buatan luar negara yang dilindungi atau Proton yang dilindungi," katanya kepada pemberita selepas melawat The Otomotif College of Malaysia di Petaling Jaya.
"Saya tidak suka orang buat tuduhan terhadap kerajaan, itulah sebabnya saya mahu senarai itu diumumkan kepada orang ramai. Tetapi itu cuma pendapat saya, tak apalah kalau itu bukan dasar (kerajaan)," kata bekas perdana menteri itu.
'Anak saya pemegang AP'
Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir mengakui Proton tidak akan dilindungi selama-lamanya.
Ditanya mengapa beliau meminta senarai AP didedahkan, sedangkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri, ini tidak dilakukan, beliau berkata:
"Bila saya dituduh mengamalkan kronisme, saya dedahkan semua penerima kontrak untuk melenyapkan kritikan. Rupa-rupanya mereka yang membuat tuduhan kerajaan mengamalkan kronisme itulah yang mendapat faedah daripada kontrak itu."
Kata beliau, sistem AP dikuatkuasakan sejak sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi.
"Anak saya adalah pemegang AP, tetapi saya boleh beritahu anda sebab dia adalah anak saya."
Ditanya sama ada Proton telah meminta lebih banyak konsesi seperti rebat cukai memandangkan kerajaan dijangka mengumumkan struktur cukai baru dalam bulan ini, beliau berkata: "Setakat yang saya tahu, kita tidak meminta lebih-lebih. Kita cuma meminta apa yang ada sekarang."
Katanya, setiap negara mempunyai industri sendiri untuk dilindungi, dan ini "menyusahkan" Proton untuk memasuki sesetengah negara kerana mereka ada peraturan, permit import dan sebagainya.'
"Jika negara-negara lain mengenakan perkara yang sama kepada kita, kita juga harus bertindak balas dengan cara yang serupa. Itu baru adil. Tetapi negara lain boleh lambak (kereta mereka). Kalau di AS kita boleh dapat susah kerana lambakan. Tetapi di sini, nampaknya tiada penyiasatan dijalankan mengenai dakwaan bahawa kereta luar negara yang masuk ke negara
ini diisytiharkan pada harga lebih rendah daripada harga asal," katanya.
Ditanya mengenai kritikan tentang prestasi lemah Proton dalam pasaran eksport, Tun Mahathir berkata, perkara itu tidak mudah untuk dijelaskan.
Bersaing di pasaran asing
"Pada mulanya, kita mahu memperkenalkan Proton kepada pasaran asing, jadi kita bersedia untuk mengalami kerugian. Kita mahu lihat sama ada Proton boleh bersaing dalam pasaran asing, jadi ia dijual pada harga rendah dan berjaya memasuki pasaran Eropah dan pasaran-pasran lain.
"Kita tidak boleh terus jual kereta pada harga di bawah paras kos kerana apabila pasaran berkembang, dan nama serta keupayaan Proton telah dikenali, kita mahu meraih untung dan (dengan demikian) kita tidak lagi menetapkan harganya sebagai kereta kos rendah. Memanglah
jualannya merosot.
"Sebaliknya, kita kurang rugi sekarang, sebab kita tidak lagi menjualnya pada paras di bawah kos kerana objektif kita berbeza sekarang," katanya..
Katanya, itu adalah lebih baik daripada mengalami kerugian besar dengan jumlah eksport yang besar.
"Tetapi, berbanding produk jenama Malaysia yang lain, saya rasa Proton lebih baik.
"Pada mulanya, kita mengeluarkan 35,000 buah kereta, tetapi sekarang kita mengeluarkan lebih daripada 200,000 kereta, kita tidak boleh kata Proton tidak buat untung, " katanya.
"Walaupun dari segi peratusan, ia (jualan) mungkin merosot, tetapi dari segi volumn ia tidak pernah merosot," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.