Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jakim puji dasar kek hari jadi McDonald’s
Diterbitkan:  Jan 4, 2017 1:35 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Ketua Pengarahnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Datuk Othman Mustapha memuji dasar McDonald’s yang hanya membenarkan kek hari jadi diperakui halal dibawa masuk ke restoran mereka.

“Jakim berpandangan bahawa polisi yang dibangunkan oleh pihak McDonald’s adalah merupakan inisiatif yang baik serta komitmen yang tinggi syarikat dalam usaha pengawalan jaminan halal di semua premis McDonald’s berteraskan Sistem Jaminan Halal (HAS),” kata Othman.

Katanya, perkara itu bukanlah luar kebiasaan kerana menjadi amalan di kebanyakan premis makanan berangkai yang mengamalkan dasar tiada makanan luar.

“Justeru, Jakim menghargai keprihatinan pihak media dan masyarakat awam terhadap isu-isu halal di negara ini,” katanya.

“Jakim juga berharap agar semua pihak merujuk terlebih dahulu kepada pihak berwajib sekiranya berlaku sesuatu polemik berkaitan dengan isu halal terutama yang sering tular (viral) di laman sosial.”

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap permohonan maaf McDonald’s, yang antaranya menjelaskan tiada niat mendriskriminasi pelanggan dan akan meneruskan dasar itu.

McDonald's sebelum ini mengeluarkan notis kepada pelanggan yang mensyaratkan kek hari jadi yang dibawa masuk ke restoran mereka mempunyai sijil halal Jakim bagi mengekalkan integriti sijil halal mereka.

Bagaimanapun, terdapat pengguna Internet yang merungut tidak puas hati terhadap dasar yang didakwa rasis dan berat sebelah terhadap penganut agama selain Islam.

Malah, seorang ahli politik kontroversi Hew Kuan Yau menyeru orang ramai memboikot McDonald's selepas mengaitkan langkah itu dengan “hagemoni Islam”.

Jakim menjelaskan Pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berpandukan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) (Semakan Ketiga) 2014 dan panduan halal bersama industri, pengguna dan pakar pemakanan MS 1500:2009.

“Ia mengambil kira keseluruhan rantaian produk dengan pendekatan halalan toyyiban yang membawa maksud halal lagi suci, berkualiti dan selamat.

“Manual ini menggariskan 13 (tiga belas) keperluan umum pensijilan yang antara lain menyentuh berkaitan Pensijilan Halal bagi premis makanan,” katanya.

Lihat Komen
ADS