Terjemahan Terjemahan Suhakam akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara mengenai kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang dan hak asasi manusia dalam isu pengambilan tanah di Kampung Dato Murad dan Tok Bidan di Alor Star untuk tujuan peluasan Kompleks Yayasan Islam Bukhary.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Siasatan Suhakam, Prof Datuk Hamdan Adnan berkata ini kerana syarat-syarat yang tidak munasabah dikenakan terhadap pemiliknya dan mereka tidak diberi pilihan lain, kecuali membawa kes ke mahkamah, jika bersetuju dengan harga tawaran.

"Kami telah tentukan jumlahnya. Jika tidak suka, pergi ke mahkamah lah! Itulah yang diberitahu oleh pihak negeri dan pegawai yayasan tersebut kepada kami, saya dan orang kampung,...apakah mereka tidak berhati perut?" katanya ketika dihubungi semalam.

Hamdan baru sahaja pulang daripada mengadakan perjumpaan dengan tiga pihak terbabit di Alor Malai, Kedah tempat kedua-dua kampung tersebut terletak.

Yayasan tersebut mahu mengambil tanah penduduk di situ untuk membina komplek berharga RM250 juta tambahan kepada Institut Pengajian Tinggi Albukhary. Penduduk kedua-dua kampung terbabit mendakwa mereka tidak dibayar pampasan sewajarnya.

"Bagaimanakah ianya (dikatakan) untuk kepentingan awam apabila penduduk tempatan dihalau daripada tanah mereka sendiri? Lagi pula, penduduk adalah peniaga kecil yang berpendapatan rendah. Mereka telah dianiaya...," kata Hamdan lagi.

Katanya, Suhakam juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara mengenai kemungkinan meminda Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 untuk menangani kejadian di mana hak perlembagaan rakyat diketepikan begitu sahaja oleh pihak berkuasa negeri.

"Kita akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara untuk menentukan sama ada tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ultra-virus terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Pihak negeri dan pegawai yayasan tersebut asyik menyatakan mereka mematuhi undang-undang. Itulah yang asyik mereka ulangi. (Tetapi) nampaknya hak asasi penduduk berkenaan telah dicabul," tambahnya.

Harga rendah

Yayasan tersebut milik ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, menaja kesemua 150 pelajar daripada lebih 30 negara miskin, belajar di institut tersebut.

Menurut peguam penduduk terbabit, juruukar swasta yang dilantik yayasan tersebut Februari lalu, telah menetapkan nilai tanah di Kampung Datuk Murad dan Tok Bidan, kesemuanya seluas 3.5 ekar, pada kadar RM14.70 sekaki persegi lebih rendah daripada harga pasaran RMRM20 sekaki persegi.

Selepas mengemukakan rayuan kepada PTG dan selepas juruukur lain dilantik, yayasan itu berjaya menurunkan nilai tanah tersebut kepada RM7.50 sekaki persegi.

Berikutan itu, harga RM7.50 sekali persegi telah ditetapkan dalam 'Borang H' yang dikeluarkan kepada penduduk pada 20 Mac mengikut peraturan Akta Pengambilan Balik Tanah (1960) serta dalam notis pengambilan balik tanah oleh PTG beberapa hari kemudiannya kepada wakil penduduk.

Menurut penduduk Kampung Tok Bidan, jumlah pampasan sebanyak RM573,255 adalah tidak mencukupi untuk penempatan semula 32 penduduk terbabit di tapak yang dicadangkan di Mentalon.

Manakala penduduk di Kampung Dato Murad dan kawasan sekitarnya, juga ditawarkan syarat-syarat yang sama.

Hamdan juga berkata beliau ternampak pagar aluminum dibina pemaju yayasan tersebut di sekeliling kampung dan di tempat-tempat tertentu, ianya menghalang jalan masuk ke situ, termasuk jalan ke masjid.

"Kami juga akan menghubungi pihak berkuasa berkaitan, seperti majlis perbandaran, mengenai isu jalan masuk yang kini terhalang (oleh pagar). Orang kampung mengadu anak-anak mereka tidak boleh lagi melalui jalan biasa ke masjid, kerana telah ditutup," kata Hamdan.

Ketika mempertahankan tuntutan penduduk untuk merundingkan semula pampasan yang ditawarkan oleh yayasan tersebut, Hamdan berkata, status sebagai tanah "pertanian" tidak seharusnya dijalankan alasan untuk PTG menawarkan harga yang rendah.

"Memang sesetengahnya tanah pertanian. Tetapi ia terletak di tengah-tengah kawasan bandar yang nilai tanahnya lebih tinggi lagi," katanya.

Malah, kata Hamdan, rayuan pegawai PTG dan yayasan tersebut supaya penduduk terbabit menyifatkan pengambilan tanah itu sebagai 'wakaf' juga mencurigakan kerana ia diambil untuk diberikan kepada pemaju swasta.

"Bagaimana ini boleh dianggap sebagai wakaf? Wakaf mesti dilakukan secara sukarela. Ini bukan sukarela," katanya.

Penduduk terbabit yang telah menfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Alor Star, melalui PTG pada 5 Mei lalu untuk menangguhkan pengambilan tanah mereka bagi mengkaji semula tawaran harganya mahu menangguhkan tarikh mengadakan "mesyuarat awam" untuk membincangkan lebih lanjut perkara tersebut dengan para pegawai terbabit.

Menurut Hamdan, penduduk berharap pengambilan balik tanah itu dapat dielakkan sehingga bulan Disember ini bagi memberi mereka lebih banyak masa untuk berunding bagi syarat-syarat yang lebih baik.