Terjemahan Pembinaan ampangan hidro 2400M Bakun yang berharga RM4.5 bilion di Sarawak, sudah lebih setahun terlewat daripada jadualnya dan ini menimbul keraguan sama ada ia dapat disiapkan pada bulan September 2007.

Sumber-sumber Syarikat Sarawak Hidro Sdn Bhd, milik Kementerian Kewangan, tidak setuju bahawa kerja di tapak sepanjang Sungai Balui, 37km dari bandar Balui, hanya lewat sembilan bulan daripada jadual.

"Ia (lewat) lebih setahun," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Apabila siap kelak, projek Bakun akan menghasilkan 1770MW bekalan elektrik, yang pada asalnya bertujuan untuk menampung keperluan dalam negeri, serta memenuhi keperluan di Sabah.

Kos keseluruhan projek itu dianggarkan RM4.5 bilion, termasuk pemasangan talian kabel ke Sabah, pembinaan loji-loji dan peralatan penjanaan (kira-kira RM1 bilion), kerja kejuruteraan serta pembinaan talian penghantaran dan stesen pencawang.

Kerja-kerja sivil dan kejuruteraan, bahagian pertama projek tersebut, telah dianugerahkan kepada konsortium enam syarikat Malaysia dan sebuah syarikat China, Sino Hydro (Malaysia) Sdn Bhd, serta Sime Engineering Sdn Bhd, bersama 30 peratus ekuiti.

Sime dan syarikat Malaysia yang lain, termasuk syarikat dari Sarawak Edward & Sons Sdn Bhd, mempunyai pegangan 70 peratus dan bakinya oleh China Hydro. Jumlah kos projek tersebut ialah RM1.788 bilion untuk disiapkan pada September 2007.

Atas sebab-sebab yang tidak dimaklumkan secara rasmi, China Hydro telah mengambil alih pengurusan di tapak projek itu daripada Engineering baru-baru ini dan pegawai Sarawak Hidro, pemajunya, memberitahu malaysiakini, "projek itu nampaknya berjalan", walaupun timbul keraguan sama ada ia dapat disiapkan mengikut jadual kontraknya.

Faktor luar jangkaan

Menurut sumber itu lagi, pihak konsortium telah menulis kepada Sarawak Hidro memohon mendapatkan 15 bulan lagi selepas September 2007 dengan variasi harga yang didakwa oleh kontraktor utamanya sebagai "faktor luar jangkaan" di tapak projek.

"Kementerian Kewangan belum lagi membuat sebarang keputusan mengenainya," tambahnya.

Cadangan berkaitan projek Bakun yang dikemukakan oleh beberapa pihak tempatan dan luar negeri ialah pembinaan loji relau pelebur aluminium di Bintulu bersama pelabuhan laut dalam di Similajau bagi kapal pengangkut yang besar.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud baru-baru ini ke China bersama ahli perniagaan dari negeri itu, termasuk anaknya yang juga pengerusi CMS Berhad group Datuk Sulaiman Abdul Rahman Taib.

Di sana ketua menteri menyaksikan permeteraian memorandum persefahaman(MoU) antara CMS dan dua syarikat China, untuk menjalankan kajian penubuhan loji relau pelebur di Bintulu, dengan menggunakan bekalan tenaga daripada Bakun atau ampangan hidro kedua berhampiran Sungai Murun dengan kapasiti separuh ampangan Bakun.

Syarikat China tersebut mempunyai kepakaran dalam operasi pelebur aluminium, pembinaan ampangan hidro dan pelabuhan.

Para pegawai kerajaan, bagaimanapun berkata, tidak mungkin lebih daripada satu loji pelebur akan diluluskan dibina di Bintulu atas alasan alam sekitar.

TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak