Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, hari ini melancarkan model terbarunya Savvy `hatchback' 1.2 liter untuk merealisasikan impiannya untuk menguasai semula pasaran segmen kereta kecil tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, berkata Proton telah "lama mengabaikan segmen kereta kecil dan membiarkan pihak lain memasuki pasaran."

Proton melancarkan kereta Tiara hatchback lima pintu 1.1 liter pada 1996 berasaskan model Citroen AX tetapi ia gagal mencetuskan impak yang kuat di dalam negara.

Savvy model gantian baru bagi Tiara dan diberikan nama kod TRM hingga sekarang dilancarkan di sini oleh Penasihat Proton dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Savvy, satu lagi model generasi baru Proton, merupakan sebuah kereta hatchback kompak lima pintu dengan kuasa enjin 1.2 liter dengan kelajuan maksimum 170km/j.

Menurut Bernama, Tengku Mahaleel berkata, pasaran bagi Savvy akan bergantung kepada kemampuan pengeluaran Proton pada masa ini maksimum 2,000 unit sebulan.

Dalam nada yang lebih konservatif, beliau berkata, pembuat kereta nasional itu menyasarkan kurang daripada 20 peratus pasaran kereta kecil tempatan, yang kini berjumlah 150,000 unit setahun.

"Banyak ini boleh kita kuasai disebabkan oleh kemampuan pengeluaran...jika permintaan meningkat, kita boleh rebut setinggi 30 peratus, tetapi kita perlu melabur untuk kilang kita," katanya kepada pemberita pada prebiu Savvy untuk pihak media semalam.

Sasaran 40 peratus

Para pegawai Proton meletakkan harapan tinggi kepada Savvy bagi segmen kereta kecil tempatan bagi menguasai agihan pasaran yang lebih tinggi, walaupun ia kini begitu sesak dengan pelbagai kereta buatan lain.

"Kami sentiasa bercita-cita untuk mencapai 40 peratus (daripada keseluruhan pasaran)," katanya.

Savvy kini boleh didapati dengan transmisi manual lima kelajuan tetapi Proton berhasrat memperkenalkan model variasi yang dipasang dengan transmisi manual automatik (AMT) canggih kemudian nanti.

Transmisi AMT kini sedang menjalani peringkat akhir ujian ketahanan bagi kegunaan di Malaysia, dan akan dilancarkan sebaik sahaja selesai diuji sepenuhnya dan disesuaikan dengan iklim bagi memastikan semua aspek kepuasan pelanggan terjamin, jelas Tengku Mahaleel.

Katanya, Proton mahu pelanggan menganggap Savvy sebagai "Lotus Pertamaku".

Beliau menambah kata, tema atau falsafah reka bentuk Savvy akan mencetus keinginan pembeli kereta untuk memiliki kereta sport seperti Lotus.

"Itulah ideologi reka bentuknya dari mula-mula projek ini dilaksanakan. Kita mahu kereta kecil yang praktikal, menjimatkan bahan api serta mempunyai ruang yang luas dan prestasi hebat secara keseluruhannya.

"Ia bukan kereta sport, dan tidak juga kelihatan seperti Lotus tetapi unsur-unsur tertentu yang dimasukkan ke dalam kereta ini akan memberikan anda pengalaman memandu salah sebuah kenderaan pengendalian terbaik di dunia," katanya.

Ditanya mengenai model generasi baru Proton yang akan datang, iaitu SRM atau Model Gantian Satria, Tengku Mahaleel berkata, syarikat itu merasakan adalah lebih bijak jika model baru itu diperkenalkan dalam jarak masa yang tidak terlalu dekat di antara satu sama lain.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi Savvy memberikan kesan dalam pasaran," katanya.

Pasaran motor tempatan menjangka Proton memperkenalkan SRM menjelang akhir tahun.