Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin mempersoalkan cadangan untuk melantik Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi mengambil alih jawatan ketua menteri pulau mutiara itu.

Kon Yeow disebut-sebut menjadi ketua menteri jika Lim Guan Eng didapati bersalah dalam pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn.

Menurut Jasmin, cadangan tersebut menggambarkan DAP adalah sebuah parti yang rasis dan hanya memperjuangkan nasib satu kaum sahaja.

"Kenapa mereka tetap melantik Kon Yeow sebagai pengganti Guan Eng sebagai Ketua Menteri, sedangkan ada dua timbalan ketua menteri berbangsa Melayu dan India di negeri tersebut.

"Kenyataan (Lim) Kit Siang yang cuba menafikan DAP sebuah parti rasis merupakan satu tindakan yang sia-sia dan seolah-lah mahu memperbodohkan rakyat di negara ini," ujar Jasmin, memetik laporan Umno Online.

Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, semasa konvensyen ke-50 parti itu kira-kira dua bulan yang lalu telah meminta perwakilan untuk menyokong cadangan agar Kon Yeow mengambil alih tugas ketua menteri Pulau Pinang daripada beliau.

"Kita akan pertahankan DAP dan Pulau Pinang dari BN bersama-sama sebagai satu pasukan, satu roh dan satu parti! Terima kasih," kata Guan Eng.

Mengulas lanjut, Jasmin yang juga merupakan ketua Pemuda Umno Jelutong berkata, tindakan pemimpin DAP yang cuba untuk membuang imej rasis dan cauvinis itu hanyalah perbuatan yang sia-sia.

“Bagi saya, DAP tidak pernah berubah. Baik dari sudut ideologi politiknya dan juga pemimpin daripada dinasti Lim yang masih kekal menerajui parti tersebut.

"Saya yakin rakyat di negara ini, khususnya sebahagian besar orang Melayu di negara ini mempunyai pandangan yang sama dengan saya," tambah Jasmin.