NGO yang menyertai misi Flotilla ke Myanmar merayu supaya pihak kerajaan negara berkenaan membenarkan mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya.

Menurut Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Azeez Rahim, misi bantuan kemanusiaan yang disertai pelbagai NGO tempatan dan antarabangsa itu sepatutnya berlepas pada 10 Januari ini.

Bagaimanapun katanya, mereka terpaksa menangguhkan misi tersebut dan berlepas pada 31 Januari berikutan kegagalan mendapat kelulusan daripada kerajaan Myanmar untuk berlabuh di perairan mereka.

"Sepatutnya bergerak 10 Januari tapi pihak kerajaan Myanmar masih belum memberikan respon terhadap surat yang dihantar pada Disember lalu.

"Jadi kita akan bergerak pada 31 hari bulan. Kalau tak dapat kelulusan kita akan cari jalan untuk pergi.

"Makanan dah ada, sumbangan dah ada," katanya pada sidang media di Kontena Nasional di ibu negara hari ini.

Selain Kelab Putera 1Malaysia, antara NGO lain yang turut serta ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Azeez berkata, sekiranya rombongan itu tidak dapat memasuki Myanmar, pihaknya akan membawa sumbangan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya yang berada di Bangladesh.

"Kalau tak ke Myanmar kita akan ke Teknaf iaitu kawasan perairan Bangladesh. Di situ terdapat kira-kira 30,000 pelarian Rohingya," katanya.

Misi Flotilla berkenaan bertujuan membawa makanan, ubat-ubatan, khemah, peralatan dan pakaian untuk mangsa Rohingya yang kini menjadi pelarian.

Misi tersebut membabitkan penyertaan lebih 200 orang yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk pasukan perubatan.

Flotilla ini akan membawa kira-kira 2,000 tan bantuan yang akan diserahkan kepada pos Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan membantu mengedarkannya.