'Datuk' dakwa rugi RM1.23j ditipu remisier
Seorang individu bergelar "Datuk" mendakwa ditipu seorang remisier dalam urusan pelaburan saham mengakibatkan kerugian
RM1.23 juta.
Penasihat undang-undang mangsa, Datuk Seri Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata mangsa menyedari ditipu selepas mendapati tiada sebarang transaksi dijalankan selepas membuat pembayaran.
Beliau berkata mangsa mengenali remisier berumur 51 tahun itu selepas didatangi pada 2015 dan pada mulanya, mangsa tidak menaruh sebarang syak berikutan tiada sebarang masalah semasa berurusan dengan kenalan mangsa yang pernah berurusan dengan lelaki itu sebelum ini.
"Mangsa melakukan lapan transaksi ke atas akaun bank suspek bermula 7 Disember 2015 hingga 2 Januari tahun lalu, namun mengesyaki berlaku penipuan selepas suspek memberi alasan tidak munasabah mengenai pelaburannya," katanya.
Beliau ditemui selepas mengiringi mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di Petaling Jaya hari ini.
Menurut Zakwan, mangsa kemudiannya berjumpa dengan remisier itu pada Jun lepas bagi mendapatkan penjelasan dan wang pelaburannya semula.
"Dalam pertemuan itu, lelaki itu menyerahkan tiga cek masing-masing bernilai RM410,000 kononnya bagi membayar kembali wang pelaburan mangsa, namun ia didapati cek tendang dan akaunnya telah ditutup Julai lepas," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan terbabit.
- Bernama

