Bekas ahli PAS Za'aba Ibrahim hanya mampu mengumpul separuh daripada kos guaman yang diperintahkan oleh mahkamah selepas gagal dalam petisyen mencabar keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi kawasan parlimen Pulai.

Ketika berita ini ditulis, Za'aba berkata, beliau hanya berjaya mengumpul RM27,300 daripada RM50,000 yang diperintahkan oleh mahkamah dan mempunyai sehingga 17 Januari ini sebelum berdepan diisytihar muflis.

Za'baa memfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan bagi kerusi Pulai. Pertandingan tersebut dimenangi oleh calon BN Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang menewaskan calon PAS Salahuddin Ayub.

Pada masa itu, PAS bersetuju untuk membantu Za'aba dengan kos guaman selepas namanya digunakan parti berkenaan.

Walau bagaimanapun, PAS membiarkannya keseorangan apabila Za'aba mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu dan menyertai AMANAH.

Za'aba, 43, bekerja sebagai seorang pengimpal.

Menurut Salahuddin, yang kini Timbalan Presiden AMANAH, berkata parti serpihan itu telah melancarkan kempen derma di seluruh negara untuk membantu Za'aba.

"Jawatankuasa kebangsaan AMANAH juga dalam mesyuarat terakhir memutuskan untuk membantunya.

"Saya fikir memandangkang kempen (derma) kini separuh jalan, sepatutnya tidak ada masalah (untuk mencapai sasaran itu)," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Apabila ditanya sama ada AMANAH bersedia menggunakan dana parti untuk membantu Za'aba jika kempen derma itu tidak berjaya, Salahuddin menjawab adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab mereka untuk membantunya.

Salahuddin berkata Za'aba adalah rakan lama dan pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa Pemuda PAS.

Menurutnya, Za'aba menawarkan dirinya sebagai plaintif bagi petisyen pilihan raya dan keputusan berkenaan diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat PAS.

Mereka yang ingin membantu Za'aba boleh menghubungi Encik Muhammad di 016-7867777.