Kesemua enam orang yang dilaporkan hilang Isnin dan Selala lalu, telah ditemui semula hari ini - tiga beradik dan sepupu mereka yang hilang di Bukit Fraser dan seorang bekas anggota tentera dan anak saudaranya yang dilaporkan hilang di Gunung Brinchang.
Chew Ser Yee, 16, Chew Ser Hun, 14, dan Chew Ser Meng, 10, serta sepupu mereka Jeremy Tio, 9, ditemui selamat pada 11.40 pagi ini.
Manakala Rahman Osman, 57, dan Mohd Azid Tahrin, 14, ditemui selamat pada jam 6 petang tadi.
Menurut polis, Ser Yee, Ser Hun dan Ser Meng dibawa keluar dengan helikopter dari tempat mereka ditemui ke satu kawasan lapang sebelum dibawa dengan ambulans ke klinik pesakit luar Bukit Fraser.
Mereka kelihatan letih ketika diusung masuk ke klinik itu.
Ibu bapa mereka dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Yusuff turut berada di situ.
Chew Ser Yee, 16, Chew Ser Hun, 14, dan Chew Ser Meng, 10, serta sepupu mereka Jeremy Tio, 9, dilaporkan hilang petang Isnin lalu ketika menyusuri denai di kawasan peranginan itu.
Menurut laporan Bernama, gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan sebaik sahaja kehilangan mereka dilaporkan pada jam 3 petang Isnin lalu.
Sultan Pahang yang berangkat ke kawasan peranginan itu bagi meninjau operasi menyelamat semalam, tiba di klinik itu tidak lama kemudian.
Ditemui di Sungai Ruil
Pasukan penyelamat, terdiri daripada anggota polis, tentera, unit pengesan Senoi Praag dengan bantuan unit udara dan unit anjing pengesan serta penduduk di kawasan sekitar, menjalankan gerakan mencari di kawasan hutan seluas lapan kilometer persegi di sekitar Bukit Fraser.
Manakala di Cameron Highlands pula, Rahman dan Mohd Azid yang dilaporkan hilang ketika sedang melakukan aktiviti mendaki gunung di Hutan Simpan Gunung Brinchang sejak Selasa lalu, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Mereka ditemui dalam keadaan lemah, kata Pemangku Ketua Daerah Polis Cameron Highlands ASP Musa Baha.
"Mereka ditemui di Sungai Ruil, kira-kira lima kilometer dari kaki Gunung Brinchang," katanya.
