Penunggang motosikal berkuasa 150cc dan ke bawah boleh mengisi minyak secara percuma sebulan sekali tahun ini di bawah inisiatif yang dilancarkan Pemuda Umno Labuan di pulau bebas cukai itu.

Lebih daripada 1,000 belia mengambil kesempatan mengisi minyak pada program selama dua jam di stesen minyak During Tunjong pada malam Selasa lalu. Program amal itu diadakan sekali pada tahun lepas.

Ketua Pemuda Umno Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha membantu mengurangkan bebanan kewangan belia berikutan kenaikan harga minyak.

"Kami mengambil inisiatif ini selepas berbincang dengan Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli. Kami bersetuju untuk menganjurkannya pada minggu pertama setiap bulan," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Rafi yang juga setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan berkata: "Kami mengadakannya (petrol percuma untuk penunggang motosikal) selepas mengambil kira belia yang kehilangan pekerjaan dalam syarikat minyak dan gas serta naik turun harga minyak global".

Seorang penunggang motosikal yang dikenali sebagai Manaf Hashim, 33, memuji inisiatif itu manakala Kasim Bakri, 29, berterima kasih kepada Pemuda Umno Labuan atas program itu.

- Bernama