Seorang maut dan enam cedera termasuk dua anggota bomba dalam kebakaran melibatkan enam buah blok kedai dua tingkat di Jalan Merbau di Miri petang semalam.

Ketua Polis Miri, ACP Khoo Leng Huat berkata mangsa yang terkorban adalah seorang wanita yang dikenali sebagai Huong Siew Fong, 21, dari Marudi, Baram.

"Yang turut cedera dalam kejadian 6.50 malam itu ialah kakak mangsa iaitu Huong Siew Ching, 26, dan abangnya Huong How Chuang, 24," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mereka yang cedera itu bersama dua yang lain sedang mendapat rawatan di Hospital Miri.

Khoo berkata dua anggota bomba yang cedera disebabkan terpijak benda tajam dan sesak nafas akibat asap terlalu tebal.

Sementara itu Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kong berkata mangsa yang maut dikatakan telah terjun bersama tiga yang lain dari tingkat kedua bangunan tersebut.

Kebakaran blok kedai tersebut turut melibatkan rumah inap desa, kedai dobi, syarikat pengangkutan dan kedai menjual bahan membuat kuih serta biskut.

- Bernama