Hong Leong Bank menjelaskan kedudukannya berhubung pembiayaan margin saham berikutan laporan akhbar baru-baru ini dengan mengatakan yang ia masih aktif memasarkan produk pembiayaan marginnya kepada pelanggan sedia ada dan pelanggan baru.

Menurut bank itu, terdapat beberapa ketidaktepatan dalam beberapa artikel yang dikeluarkan beberapa minggu lalu yang mengatakan bank itu telah mengeluarkan senarai menamakan beberapa syarikat yang sahamnya tidak layak mendapat kemudahan pembiayaan margin kepada lebih 400 kaunter.

"Ini tidak betul. Bank itu tidak mempunyai senarai melebihi 400 saham yang tidak layak mendapat kemudahan margin," kata Hong Leong dalam satu kenyataan semalam.

Menurut laporan Bernama, Hong Leong menjelaskan, pada 31 Mei, bank itu telah mengedarkan senarai 184 kaunter sebagai saham-saham "designated".

Hong Leong Bank berkata ia tidak mengeluarkan senarai yang membabitkan lebih 400 saham yang tidak layak mendapat kemudahan pembiayaan margin seperti yang dilaporkan.

"Kesemua 184 saham "designated" itu telah diberikan nilai sepenuhnya untuk pegangan sedia ada pelanggan, bagaimanapun, cawangan mesti merujuk pembiayaan selanjutnya kepada ibu pejabat bagi pertimbangan ke atas terbitan itu seperti konsentrasi, harga, mudah tunai dan pematuhan,"

katanya.

Ia menambah contohnya, Hong Leong Bank dan syarikat induknya, Hong Leong Credit Bhd, juga berada dalam senarai saham-saham "designated" ini bagi tujuan-tujuan pematuhan.

Saham 'designated'

"Yang kesalnya, saham-saham "designated" yang telah diklasifikasi itu telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sebagai saham yang tidak layak mendapat pembiayaan," kata Hong Leong.

"Selain daripada itu, Hong Leong Bank ingin mengatakan beberapa saham yang dilaporkan tidak layak mendapat pembiayaan margin oleh Hong Leong Bank seperti RHB Capital, MISC dan Sime Darby, sebenarnya berada dalam senarai yang layak mendapat pembiayaan margin kami", katanya.

Hong Leong ingin mengulangi akan komitmen padu bank berkenaan terhadap perniagaan pembiayaan margin sahamnya dan akan terus memainkan peranan penting sebagai sebuah bank yang bertanggungjawab.

"Kemudahruapan pasaran boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuklah tindakan oleh manipulator pasaran. Hong Leong Bank sesungguhnya menyokong usaha para selia pasaran mengekang sebarang manipulasi pasaran seumpama itu," katanya.

Hong Leong, yang telah terlibat dalam perniagaan pembiayaan margin saham selama lebih 15 tahun berkata sejak beberapa minggu lepas, ia terus meluluskan banyak permohonan baru bagi pembiayaan margin saham.

"Ini mencerminkan komitmen Hong Leong Bank kepada perniagaan ini. Kesemua permohonan dinilai berasaskan kedudukan kredit pelanggan di samping nilai sekuriti yang ditawarkan seperti mana amalan pasaran," katanya.

Kelmarin, Abdullah meminta Bank Negara Malaysia untuk menyiasat Hong Leong Bank yang mendakwa ia mempunyai senarai saham yang tidak layak mendapat kemudahan pembiayaan margin.

SC diarah siasat

Perdana Menteri berkata, Hong Leong yang merupakan satu daripada 10 bank teras tempatan yang mempunyai senarai itu sebagai tidak boleh diterima.

Abdullah juga memberi Suruhanjaya Sekuriti -- badan pengawal selia industri sekuriti tempoh sebulan untuk menyiasat kesemua perkara berkaitan manipulasi pasaran saham.

Perdana Menteri berkata, melihat kepada keadaan pasaran saham negara pada waktu ini, tindakan manipulasi itu boleh dianggap serius dan tidak boleh dibiarkan berterusan.

"Apa juga yang ada hubung kait dengan manipulasi pasaran saham perlu disiasat secara mendalam dan tindakan yang sesuai dengan kesalahqn itu perlu diambil segera," katanya kepada pemberita yang ingin mengetahui sama ada masalah itu serius selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa polis.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, manipulasi seperti itu adalah serius kerana prestasi lesu bursa itu boleh memberi kesan kepada integriti dan keyakinan pasaran.

Semalam,saham ditutup lebih tinggi dengan indeks komposit menokok 2.52 mata kepada 879.44. Sejak sebulan lalu, indeks komposit jatuh ekoran laporan bank-bank mengenakan tekanan kredit ke atas pembiayaan margin saham apabilabanyak saham-saham murah mengalami prestasi yang buruk.

Bagi Papan Kedua yang terdiri hampir keseluruhannya saham-saham murah, indeksnya jatuh daripada ketinggian 115.01 mata pada 17 Jan tahun ini kepada tahap paling rendah 81.75 pada 2 Jun.

Pengukur pasaran, indeks komposit jatuh daripada ketinggian 937.56 matapada 18 Jan kepada tahap paling rendah 860.73 pada 31 Mei.

Khamis lalu, beberapa ahli perbankan terkemuka memberi jaminan bahawa bank-bank akan terus menyediakan kemudahan pembiayaan margin saham. Ini telah membantu menyokong pasaran dan melonjakkan saham-saham murah.