Seorang lelaki bersenjata dipercayai salah seorang veteran perang Iraq melepaskan tembakan di karusel bagasi di lapangan terbang antarabangsa Fort Lauderdale semalam, membunuh lima orang dan mencederakan lapan yang lain, sebelum dia menyerah diri, kata para pegawai dan saksi.

Tembakan itu menyebabkan pelancong yang panik bertempiaran lari mencari perlindungan di dalam terminal dan di apron landasan. Pihak berkuasa penerbangan menutup trafik udara, menyebabkan ratusan pelancong terkandas.

Penembak itu dikenal pasti sebagai Esteban Santiago, 26, dan membawa pengenalan tentera AS, kata seorang jurucakap AS Senator Bill Nelson, yang bercakap dengan para pegawai di Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA).

Santiago berkhidmat dari 2007 hingga 2016 di Puerto Rico National Guard dan Alaska National Guard termasuk satu penempatan ke Iraq dari 2010 hingga 2011, demikian menurut Pentagon.

Lelaki itu tiba dengan penerbangan ke Fort Lauderdale, dan selepas mengambil begnya, dia terus ke tandas untuk mengisi senjatanya, kata Pesuruhjaya Broward County Chip Lamarca di Twitter.

Dia keluar sambil melepas tembakan, kata Lamarca, dan saksi memberitahu stesen televisyen MSNBC, lelaki itu hanya berhenti menembak apabila kehabisan peluru, pada masa itu, dia menyerah diri kepada pihak polis.

Video telefon bimbit yang disiarkan di media sosial menunjukkan mangsa terbaring bersebelahan dengan karusel, dengan orang ramai berlutut cuba untuk memberikan bantuan. Sekurang-kurangnya dua mangsa luka parah di kepala.

Menaiki penerbangan dengan membawa senjata api adalah rutin dan sah di segi undang-undang di Amerika Syarikat selagi senjata itu yang disimpan di dalam bekas yang dikunci, dan dibawa sebagai bagasi berdaftar sahaja, di bawah peraturan TSA. Peluru dilarang dibawa dalam beg bimbit ke dalam pesawat tetapi dibenarkan dalam bagasi yang didaftar.

Penembak itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana pegawai penguatkuasa tidak melepaskan sebarang tembakan, kata Sherif Broward County Scott Israel kepada pemberita di lapangan terbang itu, sambil menambah ia adalah terlalu awal untuk diketahui motifnya.

"Buat masa ini, ia kelihatan seperti dia bertindak sendirian," kata Israel ketika polis terus memeriksa lapangan terbang itu.

Penembak itu yang memakai T-shirt 'Star Wars', tidak berkata apa-apa semasa melepas tembakan, kata saksi kepada MSNBC. [Baca berita penuh]

- Reuters