Husam: PAS mesti hilangkan rasa takut bukan Islam terhadap parti itu
Barisan kepimpinan baru PAS berkewajipan untuk mencari kaedah bagi menghilangkan rasa psikologi takut masyarakat bukan Islam terhadap parti itu, kata Naib Presiden barunya, Husam Musa.
Barisan kepimpinan baru PAS berkewajipan untuk mencari kaedah bagi menghilangkan rasa psikologi takut masyarakat bukan Islam terhadap parti itu, kata Naib Presiden barunya, Husam Musa.
Exco Kerajaan Kelantan itu berkata, langkah tersebut harus menjadi keutamaan PAS sekarang dalam usaha mengembangkan kefahaman masyarakat terhadap Islam itu sendiri.
Katanya, perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah ketika baginda hendak membuka Mekah ialah menghilangkan rasa takut kaum Quraisy ketika itu.
"Saya yakin kepimpinan baru akan menjadikan ia sebagai satu keutamaan," katanya dalam satu wawancara yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut telah dibangkitkan dalam perbahasan sepanjang muktamar parti minggu lalu, di mana para perwakilan menegaskan mengenai beberapa keperluan dalaman dan luaran yang dilakukan oleh pihak parti.
Katanya, ini termasuklah gesaan supaya pucuk pimpinan parti menjayakan interaksi dengan pihak-pihak luar seperti masyarakat bukan Islam, pertubuhan bukan kerajaan dan Umno.
Berdasarkan prestasi
Ditanya sama ada keputusan pemilihan pucuk pimpinan parti menunjukkan ahli-ahli menolak ulama aliran keras, Husam berkata: "Saya tidak pernah mengkategorikan ulama dalam PAS keras atau lembut, tetapi saya melihat ahli memerlukan pemimpin yang sesuai dengan keperluan semasa."
"Saya lebih suka menggunakan istilah 'replacement' (yang) bermaksud penyusunan kepimpinan mengikut keperluan dan kesesuaian," katanya.
Sebab itulah, katanya, pemimpin yang tidak dipilih dan tidak bertanding mesti terus bergabung tenaga dengan mereka di tempat tertentu yang akan disusun oleh parti kemudiannya.
Dalam pemilihan parti minggu lalu, bekas setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa dipilih sebagai timbalan presiden PAS, manakala Husam, Mohamad Sabu dan Datuk Dr Hasan Ali masing-masing memenangi jawatan naib presiden.
Husam yakin para perwakilan membuat pilihan mereka berdasarkan kepada prestasi dan bukannya berdasarkan latarbelakang pengajian calon.
Sebaliknya, beliau percaya, para perwakilan membuat pemilihan dengan mengambil kira usaha penyusunan baru imej parti dan kemampuan calon untuk berhubung dengan pihak-pihak di luar parti.
Pada pandangannya, kata Husam, pertimbangan utama ahli ialah komitmen, prestasi dan kemampuan calon untuk membuat sumbangan.
"Contohnya, Mohamad Sabu sebagai pemimpin yang sentiasa bersama parti sepanjang minggu dan bulan, akhirnya diterima sebagai pemimpin yang komited kepada perjuangan dan diberi laluan (oleh perwakilan)," katanya.

