Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PAS tidak pernah mempunyai isu apabila bekas menteri besar Kelantan sebelum ini melantik beliau mengetuai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu, walaupun beliau bukan ahli PAS.

Sinar Harian melaporkan Saifuddin berkata bahawa menteri besar Kelantan yang juga mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah melantiknya mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai Ketua Tabung Amanah Tok Kenali.

Pada masa itu, katanya, tiada sebarang pertikaian daripada ahli PAS walaupun beliau dari parti lain.

Oleh itu, katanya, pelantikannya sebagai penasihat strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak seharusnya menjadi pertikaian seperti yang dibangkitkan oleh lidah rasmi PAS, Harakah Daily.

Lidah rasmi PAS itu dalam satu artikel, menyifatkan pelantikan Saifuddin sebagai ‘dedak’ - istilah yang dipopularkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kritikannya terhadap Umno sejak kebelakangan ini.

“Jadi apa yang Guan Eng buat adalah perkara yang telah pun PAS buat ketika melantik saya menyandang jawatan itu selama tiga tahun dari 2004 hingga 2007.

“Adakah ketika Guan Eng melantik saya, itu dikatakan ‘dedak’ dan waktu PAS pula bukan dedak.

"Itu tidak betul,” Saifuddin dipetik oleh Sinar Harian sebagai berkata.

Beliau berkata, Nik Aziz telah melantiknya walaupun beliau bukan ahli PAS.

“Beliau melantik saya kerana berasakan saya ada pengalaman, boleh membantu GLC Kelantan dan memberi kepercayaan kepada saya," kata Saifuddin.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Rashid Hasnon berkata, pelantikan Saifuddin sebagai penasihat strategik Lim adalah untuk mengukuhkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan negeri.

"Ia adalah strategi dan bukan 'dedak'," katanya.