Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembantu: Adenan tak pernah komen isu kek halal McD
Diterbitkan:  Jan 7, 2017 3:53 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Ketua setiausaha politik kepada Tan Sri Adenan Satem menjelaskan bahawa ketua menteri Sarawak itu tidak membuat apa-apa kenyataan mengenai polisi kek halal di restoran makanan segera McDonald.

"Kenyataan yang dibuat oleh salah seorang setiausaha politik dari Parti SUPP berhubung polisi kek halal yang diumum McD adalah kenyataan yang dibuat atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

"YAB ketua menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu tersebut," kata Abdullah Saidol dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata McD adalah sebuah entiti perniagaan dan polisi diumumkan merupakan keputusan perniagaan mereka.

Kerajaan negeri tidak ada kepentingan secara langsung dalam perniagaan tersebut dan tidak berhasrat mencampuri urusan mereka kecuali sekiranya melanggar undang-undang.

"Saya tidak faham bagaimana isu kek halal ini boleh menjerumuskan kita ke arah unsur-unsur fanatik dan perkauman?

"McD Singapura juga mengamal polisi yang sama. Apakah kita akan melihat masalah fanatik dan perkauman di Singapura?," Soalnya.

Menurut Abdullah, dengan dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri, beliau percaya rakyat di negeri itu cukup matang untuk tidak terpengaruh dengan 'isu remeh' tersebut.

"Negeri kita tidak akan menyambut sesiapa yang berfikiran atau bersikap suka berburuk-sangka serta ektremis. Semua warga negeri yang berbilang bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politik bertanggungjawab untuk mempastikan keharmornian dan keamanan dikekalkan lebih dari agenda politik," katanya.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, Abdullah dipercayai merujuk kenyataan dibuat setiausaha politik Adenan, Micheal Ting.

Semalam Ting dilaporkan berkata keputusan McDonald mengarahkan cawangannya di Miri agar membuang notis yang membenarkan hanya kek halal dibawa masuk ke premisnya merupakan 'langkah bijak'.

"Ia sentiasa menjadi pendirian Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem bahawa ekstremisme kaum atau agama tidak mempunyai tempat di Sarawak kerana Sarawak mengamalkan budaya toleransi, kesederhanaan dan persefahaman terhadap semua kaum dan agama," Ting dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS