Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M enggan jadi PM semula walau lebih 'popular' dari Anwar

Sesiapa yang mengharapkan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi perdana menteri mungkin terpaksa melupakan angan-angan tersebut.

Ini kerana, bekas pemimpin negara itu menegaskan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang walaupun satu kaji selidik menunjukkan beliau lebih popular untuk memegang semula jawatan perdana menteri.

"Soal PM (perdana menteri) tak bincang langsung. Ia mengenai menang atau tak (pada pilihan raya). Tak timbul soal siapa jadi perdana menteri sehingga kita menang.

"Tidak, tidak. Saya sudah katakan saya tidak akan bertanding (pada pilihan raya umum ke-14)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan lagu rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Shah Alam hari ini.

Sebelum ini satu kaji selidik oleh Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati masyarakat Melayu lebih memilih Mahathir untuk menjadi perdana menteri kembali berbanding bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut kaji selidik yang dilakukan IDE, sebanyak 29 peratus orang Melayu mahukan Mahathir sebagai perdana menteri manakala Anwar dan Abdul Hadi berada di tempat kedua apabila masing-masing mendapat 25 peratus

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mendapat kedudukan ketiga dengan 13 peratus dan Penasihat DAP Lim Kit Siang pula mendapat tempat keempat dengan hanya mendapat satu peratus.

Lihat Komen
ADS