rencana Hari ini genap 62 hari saya diberi peluang oleh Allah bagi kali kedua menghuni 'pusat latihan mental' terbaik (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di Malaysia.

Cuma rezeki saya kali ini agak baik apabila berpeluang memasuki 'kota idaman' ahli politik lantang yang telah melahirkan ramai pejuang kental.

Pada 1998, saya sekadar berpeluang menghuni kamar kecil di pusat tahanan khas polis (PRC) selama 59 hari. Kali ini saya bernasib baik kerana pada 13 (Jun, 2001) - angka kegemaran Pak Lah (Menteri Dalam Negeri) - menjadi tarikh saya dan Ustaz Dr Badrul Amin Bahron menerima perintah tahanan selama dua tahun. Ini bermakna kami tidak perlu menunggu sehingga genap tempoh siasatan 60 hari.

Tepat jam 11.30 malam, iaitu sejam selepas menerima perintah tahanan (DO) tersebut, kami telah dibawa Kemta (kem Tahanan Perlindungan Kamunting, Taiping).

Semasa di PRC, setiap hari kami menghabiskan waktu siang dengan soal siasat dan sebelah malam dengan ibadah dan istirehat. Keadaan berbeza di Kemta.

Setelah selesai urusan dengan pejabat rekod awal pagi 14 Jun lalu, kira-kira jam 6.30 pagi, kami diberikan peralatan peribadi sebelum dibawa ke tempat penginapan. Sebaik sahaja melangkah masuk blok T2B yang dipagari dengan zink dan kawat berduri setinggi 12 kaki, kami berasa amat hairan dan terkejut.

Sebuah dewan besar, surau besar, gelanggang badminton dan halaman yang cukup luas untuk bercucuk tanam, berjoging, malah untuk Ustaz (Badrul) berguling-guling berlatih silat pun boleh. Kami berdua termenung dan memandang antara satu sama lain hampir lima minit.

Bertuah bersama Ustaz

Apakah tempat sebesar ini hanya untuk kami berdua sahaja? Blok T2A - tempat tahanan anggota-anggota Al-Ma'unah, kes pemalsuan pasport dan kes-kes lain - boleh dimuatkan sekitar 50 orang sedangkan kawasan itu sama besar.

Akhirnya saya sedari, rupa-rupanya keenam-enam kami (aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional) telah diasing-asingkan dua orang bagi setiap blok.

Di peringkat awal, dewan sebesar ini cuma ada dua katil sahaja. Tetapi sekarang alhamdulillah , kami sudah dapat meja makan, meja belajar, rak TV, permainan bawah bumbung (karom, catur, dam haji), dan buku-buku.

Rutin harian kehidupan kami di sini - sementara menunggu kuliah agama Ustaz Aspahani (yang ditugaskan oleh pihak berkuasa kem) - hanya dipenuhi dengan pengajaran Al-Quran, membaca buku, main catur atau karom, menulis, bersolat dan bersembang.

Disebabkan kami hanya berdua, saya dan Ustaz biasanya akan menyanyikan lagu Negaraku, berikrar dan membaca doa bersama Al-Ma'unah di sebelah pagar.

Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana telah ditakdirkan mendapat Ustaz Badrul sebagai rakan sebilik, peluang untuk mendalami bidang agama tidak disia-siakan.

Dua hari lepas, buat pertama kali kami berpeluang bertemu Mohamad Ezam (Mohd Nor), Tian (Chua), Saari (Sungib) dan Hishamuddin (Rais) setelah hampir dua bulan tidak bersemuka.

Meriah sungguh suasana itu semasa kami ditemuduga oleh peguam-peguam kami.

Strategi untuk bebas

Walaupun sekejap, ia cukup untuk mengubat rindu dengan teman-teman yang sentiasa kami khuatiri keadaan masing-masing. Setiap orang menceritakan keadaan dan strategi yang mereka gunakan untuk bebas (semasa disoal siasat kira-kira dua bulan sebelum ini), namun ke sini juga akhirnya!

Sudah tiga pasukan peguam yang hebat-hebat belaka datang menemui kami.

Melalui kesempatan ini, saya dan Ustaz Badrul serta teman-teman yang lain ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung memberikan pelbagai bentuk sokongan kewangan serta sokongan moral kepada kami dan keluarga.

Begitu juga kepada mereka yang telah menjayakan, dalam apa jua bentuk, kempen pembebasan dan kempen hak asasi berhubung isu penahanan kami di bawah ISA.

Berbanyak-banyak terima kasih kepada barisan pemimpin, teman-teman, peguam, penulis (buku, sajak), wartawan dan jurugambar (daripada pelbagai akhbar, tabloid, Internet) yang tidak jemu-jemu membela nasib kami.

Tidak ketinggalan juga khusus buat pengurus-pengurus laman web, pejuang-pejuang keadilan, teman-teman PAS, DAP, Parti Rakyat Malaysia dan mereka yang turut menghantar surat dan poskad.

Kami sukar menjawab semua kiriman kerana hanya dibenarkan berutus surat seminggu sekali.


LOKMAN NOOR ADAM, aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional, menulis surat ini di balik tembok kem tahanan lanjutan Taiping, Perak pada 24 Jun lalu. Atas permintaan penulis ini, beliau boleh dihubungi di Lokman Noor Adam, ATP 2508/01, Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, 34009 Perak dan beliau berpesan: 'jangan lupa tulis alamat atau e-mel pengirim.'