Nyanyian lagu kebangsaan "Negaraku" akan dijadikan acara wajib di semua majlis rasmi kerajaan tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Bagi tempat-tempat awam seperti pawagam dan acara di kompleks membeli belah pula, satu perbincangan akan diadakan antara pemiliknya dengan jawatankuasa kerja Kempen Pembudayaan dan Penghayatan Lagu Negaraku, katanya.

"Keputusan ini dibuat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat agar menghayati dan menghormati lagu kebangsaan Malaysia," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Kuala Lumpur hari ini.

Lim berkata pihak swasta tidak diwajibkan untuk menyanyi lagu kebangsaan sebelum sesuatu majlis tetapi mereka digalakkan berbuat demikian.

Akta Lagu Negaraku 1968 mewajibkan semua rakyat Malaysia berdiri apabila lagu Negaraku dimainkan.

Tiada paksaan

Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir merayu kepada semua pihak supaya jangan menimbulkan sebarang polemik berikutan saranannya mengenai nyanyian lagu Negaraku.

Katanya, saranannya itu adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghayati dan menghormati lagu itu dan bukan bertujuan memaksa sesiapa.

"Terpulanglah kerana kita tidak akan hukum mereka walaupun ada undang-undang yang diperuntukan. Kita akan menggunakan cara mendidik dan memujuk. Kita ada akta tetapi tidak pernah dikuatkuasakan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perarakan Hari Merdeka di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, kabinet telah meluluskan cadangan memainkan lagu Negaraku tetapi ia hanyalah di beberapa majlis rasmi sahaja.

Abdul Kadir sebelum ini pernah menyatakan bahawa Kementerian Penerangan akan mengadakan satu kempen memartabatkan lagu Negaraku secara besar-besaran di mana semua majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta digalak dimulakan dengan lagu Negaraku di samping lagu Negaraku dimainkan di panggung wayang dan tempat-tempat hiburan.