Bekas Ketua Bahagian MCA Bukit Mertajam Tony Peh Choon Peng menyifatkan kejayaan Lau Chiek Tuan dan barisannya memenangi tanpa bertanding jawatan di bahagian itu semalam sebagai kemenangan tidak adil dan tidak boleh diiktiraf.

Katanya pemilihan itu tidak sah selagi masalah "ahli hantu" yang didakwa wujud di bahagian itu tidak diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau memberitahu Bernama bahawa kemenangan Peh, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Berapit, dan barisannya itu, umpama "memilih musang untuk menjaga anak ayam" yang akhirnya akan memudaratkan parti.

"Jika semua anggota jawatankuasa ini diterima oleh ibu pejabat parti, bermakna mereka memilih ahli hantu dan lama kelamaan MCA juga akan menjadi sebuah parti hantu," katanya.

Peh dan barisan jawatankuasanya tidak mengemukakan pencalonan mereka dalam proses pemilihan semalam. Mereka juga akan memulau persidangan perwakilan bahagian itu pada 13 dan 14 Jun ini, sehingga apa yang mereka sifatkan sebagai 5,000 ahli hantu di bahagian berkenaan, dihapuskan.

Beliau juga menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung MCA Tan Sri Dr Ting Chew Peh hari ini untuk memohon supaya mesyuarat bahagian itu digantung sehingga rayuan kes itu diputuskan oleh mahkamah.

"Kita harap pucuk pimpinan parti tidak memekakkan telinga berhubung masalah ini dan kita mahu tengok apa tindakan presiden parti selepas ini, sama ada beliau boleh berlaku adil atau tidak," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia menerima sebarang tindakan parti berikutan tindakannya itu, beliau berkata: "Jika parti ambil tindakan kepada saya dan rakan-rakan, perkara itu akan diadili oleh masyarakat".

Bagaimanapun, Peh berkata, beliau tidak akan sekali-kali meninggalkan MCA kerana yakin perjuangan mereka bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk kebaikan parti itu.