Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini mencabar Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk bertanding di kerusi DAP sekiranya enggan memohon maaf kepada parti itu dan pemimpin supremo Lim Kit Siang.

Beliau mengeluarkan cabaran itu sebagai tindak balas terhadap dakwaan Liow bahawa DAP sebuah ‘syarikat milik persendirian’ dan melabel parti itu sebagai ‘Kit Siang dan anak Sdn Bhd’.

Presiden MCA itu berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan Kit Siang, yang juga ahli parlimen Gelang Patah, bertanding di kerusi lain pada dalam pilihan raya umum akan datang.

Liow menyifatkan tindakan pemimpin veteran itu sebagai meninggalkan tanggungjawabnya.

Lip Eng bagaimanapun menganggap kenyataan sedemikian adalah bodoh. Katanya, Kit Siang berani meninggalkan kerusi selamat di Ipoh Timur semata-mata untuk merampas Gelang Patah, yang merupakan kubu kuat BN.

“Ada mana-mana pemimpin BN yang cukup berani untuk meninggalkan kerusi selamat mereka di kawasan-kawasan luar bandar untuk bertanding di kerusi-kerusi kubu kuat pembangkang di bandar-bandar utama seluruh negara?

“Bagi membuktikan bahawa MCA benar-benar berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kawasan dan keturunan kaum, saya mencabar Liow untuk meninggalkan kerusi pasti menangnya di Bentong itu, dan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen yang dimenangi DAP,” katanya dalam satu satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jika Liow enggan menerima cabaran ini, maka beliau perlu memohon maaf kepada DAP dan Kit Siang.

“Liow nampaknya telah secara tanpa segan silu melupakan bahawa sekitar 10 orang presiden MCA berhenti berkhidmat kerana mereka telah sama ada dipenjara, terlibat dalam skandal peribadi atau meletakkan jawatan secara tiba-tiba,” katanya.

Beliau berkata, bertentangan dengan dakwaan bahawa kepimpinan DAP tidak pernah berubah, parti itu telah menukar pengerusinya sebanyak tiga kali, manakala jawatan setiausaha agung telah menyaksikan lima muka berlainan.

Lip Eng berkata DAP adalah parti politik sosial demokrasi berbilang kaum yang berdaftar, berbanding MCA yang mengamalkan politik cauvinis Cina.

“MCA juga sebuah parti yang tidak mempunyai ideologi, melainkan hanyalah sebuah syarikat milik bersama para ‘Datuk dan Tauke’ dengan agenda sepunya untuk mengumpulkan kekayaan demi kepentingan sendiri; tanpa mempedulikan kepentingan umum, apatah lagi negara,” katanya.