Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin hari ini bertemu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kepimpinan parti itu.

"Kami telah membincangkan beberapa perkara termasuk isu kepimpinan BERSATU lebih daripada satu jam pagi ini.

"Saya melakukan yang terbaik untuk menyentuh setiap sudut pada semua perkara," katanya kepada Malaysiakini.

Pertemuan itu ekoran penyingkiran beliau sebagai ketua Srikandi (wanita) BERSATU yang dikatakan berpunca daripada dakwaan skandal seks.

Sabtu lalu, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Anina tidak dipilih sebagai ketua Srikandi parti itu kerana prestasi beliau.

BERSATU sebelum ini menjelaskan parti itu belum lagi secara rasmi menubuhkan sayap Srikandi.

"Saya akan meneruskan perjuangan untuk rakyat bersama Tun (Mahathir). Kami berdua gembira dan saya tersentuh dengannya," kata Anina.

Menurut Anina, Mahathir memberikan galakan dengan mengatakan dirinya sendiri pernah dipecat oleh Umno tetapi masih menjadi perdana menteri.

Anina berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan akhbar malam ini pada pertemuan dengan Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU.

Beliau juga mendedahkan bahawa Mahathir tidak menyentuh mengenai skandal seks, yang didakwanya merupakan tuduhan tidak berasas dan dicipta oleh orang-orang yang mahu menjatuhkannya.

"Tun tidak bertanya tentang skandal seks, saya sebut kepadanya. Beliau adalah jenis orang yang tidak pernah melayan dakwaan terhadapnya, isu-isu mengenai kehidupan peribadi dan keluarganya," kata Anina.

Malah, Anina berkata beliau bercakap mengenai isu itu dengan Mahathir bulan lepas dan bekas perdana menteri itu tahu skandal berkenaan tidak benar.

"Kamu mesti jadi orang yang sangat penting supaya mereka mahu menjatuhkan kamu ke bawah. Oleh itu, saya mesti terus berjuang untuk rakyat," katanya.

Anina menambah beliau mungkin mengadkaan sidang akhbar dalam masa seminggu untuk menjawab isu tersebut.

Lihat Komen
ADS