Pilihan raya kecil Likas 21 Julai, pencalonan 12 Julai
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Likas, Sabah akan diadakan pada 21 Julai depan dan hari penamaan calon ditetapkan pada 12 Julai, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Pengerusinya Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman berkata SPR akan menggunakan daftar pemilih tahun lepas yang mengandungi 26,196 orang pemilih.
"Daftar pemilih itu telah disemak dan dikemas kini sehingga 27 Jun lepas," katanya, kepada agensi berita nasional Bernama hari ini.
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan semula selepas mahkamah di Kota Kinabalu pada 8 Jun lalu memutuskan pilihan raya negeri bagi Likas yang diadakan pada 13 Mac 1999 sebagai tidak sah dan batal akibat daftar pemilih yang didapati mengandungi "pengundi hantu."
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan yang dibuat oleh bekas wakil rakyat Likas Datuk Yong Teck Lee bagi membatalkan keputusan hakim Muhammad Kamil Awang awal bulan ini.
Hakim itu, ketika memutusan pilihan raya kawasan itu batal, juga mendapati Yong melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya.
Menurut Bernama , hakim Datuk Richard Malanjun yang mendengar kes itu dalam kamarnya memutuskan demikian berdasarkan kes yang difailkan oleh Wee Choo Keong, bekas anggota parlimen Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Dalam kes Wee, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa permohonan bagi perintah certiorari tidak harus dibenarkan oleh mahkamah tinggi terhadap sebarang keputusan mahkamah pilihanraya.

