Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya mencatatkan keuntungan hasil jualan salah satu daripada empat asetnya di Melbourne, Australia.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, bangunan yang dimiliki oleh cabang pelaburan agensi Mara Inc berjaya melupuskan aset itu pada harga lebih tinggi berbanding harga belian.

“Melupuskan aset dengan harga menguntungkan, harga lebih tinggi daripada harga beli.

“Kita membeli pada harga A$21 juta (dan) kita berjaya menjual pada harga A$23.4 juta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur hari ini.

Bangunan berkenaan terletak di 51 Queen Street, Melbourne.

Dengan jualan itu, Annuar berkata MARA Inc berjaya melupuskan semua hutangnya dengan dua bank di Australia.

Menurutnya, pinjaman daripada dua bank itu bersifat jangka pendek dan memberi tekanan kepada MARA Inc untuk melangsaikan hutang dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut Annuar, penjualan hartanah itu merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang dilaksanakan MARA Inc setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Kelulusan tersebut diberikan atas dua syarat iaitu aset tersebut dilupuskan pada harga yang menguntungkan dan keuntungan daripada jualan mesti melangsaikan semua hutang dengan dua bank di Australia," katanya.

Beliau, semalam, mengumumkan bahawa MARA Inc telah menjual salah satu daripada empat hartanahnya di Melbourne.

Hartanah Mara Inc di Melbourne menjadi tajuk utama pada bulan Jun 2015 berikutan laporan sebuah akhbar Australia, The Age, yang mendakwa syarikat itu telah membeli blok pangsapuri lima tingkat, Dudley House, pada harga yang melambung.

Akhbar itu mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya" telah terlebih bayar AS$ 4.75 juta (RM13.8 juta) untuk membeli blok apartmen itu pada tahun 2013 - dan lebihannya disalurkan semula ke Malaysia sebagai sogokan untuk pegawai Malaysia.

Semua empat hartanah MARA Inc di Melbourne dilaporkan diperolehi antara 2012 dan 2013.

Annuar turut menegaskan penjualan hartanah tersebut tidak melibatkan sebarang kerugian malahan MARA Inc memperoleh keuntungan dari segi pertukaran mata wang asing selain harga jualan yang lebih tinggi.

"Langkah penjualan ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan jangka panjang MARA Inc termasuk lokasi hartanah lain di Melbourne dan London.

"Kewangan MARA Inc kini kukuh dan tidak memerlukan suntikan daripada MARA,"
katanya.

Hartanah di Queen Street itu merupakan satu daripada empat hartanah yang dimiliki MARA Inc di Australia, merangkumi 12 tingkat ruang pejabat serta ruang niaga moden di tingkat bawah.

Menurut Annuar, tiga hartanah lain itu yang mempunyai nilai aset terkumpul lebih A$80 juta akan dikekalkan sebagai pelaburan hartanah masa hadapan.

[Baca berita penuh]