Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Rakyat Malaysia berkata mereka benci rasuah tetapi perbuatan mereka menunjukkan sebaliknya, kata seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Abdul Samat Kasah berkata, terdapat kebimbangan orang ramai tidak membenci individu yang melakukan rasuah.

Bercakap di saluran radio atas talian SPRM, Abdul Samat berkata hadirin sebuah seminar memberitahu kepadanya bahawa mereka akan cuba merasuah untuk melepaskan diri daripada kesalahan lalu lintas.

"Kadang-kadang mereka benci rasuah hanya retorik semata. Bila teruji dengan rasuah mereka sendiri terperangkap dengan rasuah," katanya kepada SPRM FM.

Selain itu, beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa rakyat Malaysia menjadi seperti rakyat FilipinaPRMS yang memilih Imelda Marcos di kongres negara itu sebanyak dua kali selepas kembali dari buangan.

Marcos terkenal dengan gaya hidup mewah ketika menjadi wanita pertama Filipina pada 1965 hingga 1986.

"Yang itu kita takut apabila masyarakat kita beretorik kata membenci rasuah tapi tak benci perasuah," katanya.

Selain itu, Abdul Samat berkata, rakyat Malaysia juga mempunyai kecenderungan untuk percaya bahawa hanya orang yang mereka benci akan melakukan rasuah.

"Melihat perbuatan orang yang kita tak suka tu rasuah, tapi perkara yang seakan-akan (dilakukan) oleh orang yang kita sanjung, kita suka, boleh bertolak ansur.

"Apabila kita jalankan siasatan ke atas sesetengah pihak, pihak yang sokong dia akan tuduh kita dengan macam-macam nama. Tapi apabila kita menyiasat pihak yang lain, mereka pula seakan-akan sokong kita," katanya.

Abdul Samat berkata adalah penting bagi orang ramai menolak semua bentuk rasuah, dan belajar mengenai pelbagai jenis rasuah.

Lihat Komen
ADS