Kerajaan Thai bersedia berbincang dengan Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) mengenai keganasan di wilayah selatan negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam, sewaktu mesyuarat para menteri luar pertubuhan itu di Yemen hujung bulan ini.

"Terdapat anggapan bahawa kami tidak mahu berbincang langsung mengenai keadaan di selatan Thailand. Itu tidak benar," kata Menteri Luar yang baru Kantathi Suphamongkhon.

"Saya bersedia untuk berbincang mengenai perkara tersebut...dengan rakan sejawatan apabila saya menghadiri mesyuarat OIC. Di situ saya akan berpeluang bertemu dengan para menteri luar," katanya kepada pemberita.

Para menteri luar OIC akan bertemu di Yemen pada 28-30 Jun ini. Thailand turut menghadirinya sebagai pemerhati.

Lawatan menteri luar

Ini adalah lawatan rasmi pertama Kantathi ke Malaysia, selepas beliau dilantik sebagai menteri luar Thailand awal Mac lalu.

Sebelum itu, Kantathi telah mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatanya Datuk Seri Syed Hamid Albar di Putrajaya.

Beliau yang dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia, akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini. Esok, beliau akan berlepas ke Langkawi dan ke Kelantan pada berikutnya untuk menemui masyarakat Thailand di negeri itu.

Syed Hamid yang menyifatkan perbincangannya dengan Kantathi sebagai baik dan mesra, berkata "ianya bukanlah satu pendekatan OIC untuk membincangkan sesuatu perkara dengan niat untuk menimbul ketegangan atau konfrontasi."

Lebih daripada 690 orang terkorban sejak Januari 2004 dalam keganasan di selatan Thai yang didakwa oleh pihak berkuasa, dilakukan pejuang pemisah Islam, kumpulan penyeludup dan penjenayah.

Tindakan balas tegas pihak kerajaan dalam menangani keganasan tersebut telah menjejaskan hubungannya dengan beberapa negara Islam, termasuk Malaysia yang menjadi pengerusi ke-57 OIC.

- AFP