Plaza Tol Jelapang dan Ipoh Selatan akan dirobohkan selepas kerja pembinaan jalan alternatif dan pembesaran Lebuhraya Utara-Selatan kepada tiga lorong siap pada tahun 2007, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu.

Kejadian plaza tol Jelapang sering dirempuh kenderaan berat kerana kedudukannya di kaki bukit di situ, menyebabkan orang ramai dan Kerajaan Perak mendesak supaya plaza tol itu dipindahkan.

Menurut Bernama, Samy Vellu berkata, kerja pembinaan akan bermula bulan depan dan dijangka selesai dalam masa 18 hingga 20 bulan.

"Kita tidak boleh pindah tol ini begitu sahaja kerana banyak kerja perlu dibuat, termasuklah jalan dua lorong di setiap hala," katanya selepas menghadiri upacara keagamaan di Kuil Sri Thandayuthapani di Tapah hari ini.

Menurutnya, apabila semua kerja ini siap, pengguna lebuhraya dari Kuala Lumpur boleh meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang tanpa perlu berhenti membayar tol di plaza tol Ipoh Selatan atau mengambil tiket di Jelapang.

Penduduk Ipoh, khususnya yang kini menggunakan laluan "bebas tol" sepanjang 15km dari Ipoh Selatan ke Jelapang di lebuhraya itu, boleh menggunakan laluan alternatif dua lorong sepanjang lebuh raya itu secara percuma.

"Kerajaan bersedia membina laluan alternatif ini untuk penduduk Ipoh kerana mereka sudah menikmati kemudahan bebas tol ini sekarang," katanya.

Pembinaan laluan alternatif dan plaza tol baru dijangka menelan kos RM280 juta, termasuk dua plaza tol untuk pengguna yang ingin pergi ke Ipoh atau memasuki lebuh raya yang akan dibina dengan kos RM40 juta.

Pemindahan tol Jelapang dan tol Ipoh Selatan itu selain projek melebarkan beberapa laluan di lebuhraya sepanjang 848 km itu adalah antara perkara yang terkandung dalam perjanjian kerajaan dengan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Laluan yang akan dilebarkan termasuk Seremban-Ayer Keroh dan Rawang-Tanjung Malim.