Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan 5 individu kutip derma guna nama NGO
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 6:24 AM
Dikemaskini: Jan 11, 2017 4:19 AM

Lima individu termasuk seorang wanita ditahan dipercayai aktif melakukan penipuan dengan menyamar sebagai ejen kutip derma pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata kesemua suspek berusia antara 33 dan 71 tahun ditahan di Pandan Jaya sejak Jumaat lepas hingga kelmarin.

Menurut Hamzah, kumpulan itu menggunakan nama NGO yang aktif seperti Persatuan Kebajikan Anggota-anggota Trafik Polis Diraja Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia untuk melakukan penipuan.

"Mereka ini menyamar sebagai wakil NGO dan menipu mangsa kononnya mereka adalah wakil NGO yang datang untuk meminta derma untuk aktiviti persatuan yang diwakili," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.

Beliau berkata dalam kes terbaru, seorang pengurus syarikat telekomunikasi berusia 38 tahun ditipu RM1,600 oleh kumpulan itu Disember lepas.

"Polis percaya ramai lagi mangsa yang tertipu dengan kumpulan ini dan kami mahu mangsa lain tampil untuk memberi keterangan," katanya dan menambah kesemua suspek direman hingga Jumaat ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri dan merampas lebih satu kilogram dadah bernilai lebih RM10,000 di sebuah rumah di Pandan Perdana, di sini, Sabtu lepas.

Katanya suspek berusia 20 hingga 30-an itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ampang Jaya dalam operasi selama satu jam bermula 11 malam.

"Polis merampas empat ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja, lima paket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dan 10 biji pil disyaki dadah jenis erimin," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama

Lihat Komen
ADS