Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan nafi k'jaan tangguh peraturan levi baru

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan kerajaan bersetuju menangguhkan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan yang sepatutnya bermula pada 1 Januari yang lalu kepada tahun hadapan.

"Majikan minta penangguhan, sama seperti permintaan pada 2013. Mereka tidak mahu membayar levi, mahu pekerja yang bayar," kata beliau yang juga ahli Parlimen Pulai kepada Malaysiakini.

"Tiada keputusan bagi menangguhkan bayaran levi," katanya sebagai mengulas laporan Malaysia Reserve yang mengatakan peraturan levi baru itu ditangguhkan sehingga 2018.

Peraturan baru ini termaktub di di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC) yang bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja asing mereka bermula dari tarikh pelantikan sehingga keberangkatan pulang ke negara asal.

"EMC tidak ditangguhkan. Ia telah bermula," kata Nur Jazlan lagi.

Di bawah EMC, majikan tidak boleh memotong gaji pekerja asing untuk membayar levi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan dasar itu akan meletakkan majikan lebih bertanggungjawab dalam menjaga pekerja.

Ia, kata Ahmad Zahid, dapat mengelak isu pekerja asing lari, bertukar sektor secara haram serta tinggal lebih masa dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, pekerja asing tidak akan lari jika mereka dibayar oleh majikan dengan upah yang sewajarnya.

"Jika majikan membayar pekerja asing dengan upah sewajarnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, pekerja tidak akan lari," kata Setiausaha Agung MTUC, Gopal Kishnam kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS