SPRM buru perasuah tiada kaitan PRU14, kata Umno

   

Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu yang terpalit dalam kes rasuah berprofil tinggi tidak ada kaitan dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Jelasnya, tindakan menahan mereka yang didakwa rasuah bukan agenda politik Umno untuk mempopularkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti mana dakwaan pembangkang.

"Saya amat kesal ada tuduhan kononnya SPRM memburu pelaku rasuah atas arahan Najib kerana PRU semakin hampir, ini dakwaan mengarut," katanya dalam blog beliau.

Justeru, beliau menolak tohmohan pihak pembangkang kononnya SPRM mula 'mengganas' terhadap pelaku rasuah sebagai kempen pilihan raya untuk mengambil hati rakyat.

"Tuduhan sedemikian adalah tidak berasas, SPRM tidak ada kaitan dengan politik, apatah lagui sebagai alat Umno untuk menarik undi," tegasnya.

Semalam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menjelaskan mengenai kehadiran anggota SPRM di pejabatnya bagi merakam kenyataan berhubung siasatan terhadap pegawai yang ada kaitan dengan Pejabat Ketua Menteri.

Kata Idris, beliau hanya membantu siasatan SPRM terhadap beberapa pegawai kerajaan negeri dan siasatan itu tiada kaitan dengan dirinya.

"(Anggota SPRM) datang sempurnakan siasatan beberapa kes yang berlaku sebulan setengah yang lalu.

"Takkan siasat saya, kalau siasat saya lain macam (cara) dia (anggota SPRM) datang," kata Idris lagi.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, Umno sebagai tunggak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit perbuatan rasuah.

"Umno sentiasa bersifat terbuka dan akan bekerjasama dengan kerajaan termasuk SPRM untuk membanteras gejala rasuah," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda