Penang Forum menggesa pihak berkuasa menganjurkan lebih banyak taklimat dan publisiti mengenai Pelan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (PSP2020) supaya orang ramai boleh tampil dan menyemak pelan tersebut.

PSP2020 telah dipamerkan di beberapa lokasi di Pulau Pinang sejak 1 Disember, dan penduduk boleh melihatnya dan mengemukakan maklum balas kepada kerajaan negeri sehingga 31 Januari.

Bagaimanapun, NGO itu meminta tarikh akhir bagi penyerahan maklum balas awam dilanjutkan dua bulan lagi ekoran menjelangkannya musim perayaan.

Menurut NGO itu, taklimat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri pada 8 Disember tahun lalu tidak berkesan.

"Soalan-soalan yang dibangkitkan tidak dijawab dengan memuaskan," katanya dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa perunding sepatutnya hadir untuk menjawab.

NGO itu menggariskan beberapa isu-isu yang tidak ditangani dengan sewajarnya dalam taklimat itu.

Isu-isu itu, tegasnya, termasuk perlindungan kawasan sensitif alam sekitar, keperluan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah, kawasan lapang dan kawasan rekreasi, akses universal untuk pengangkutan dan kemudahan lain.

Di samping itu, tambahnya, strategi untuk meningkatkan tahap kemahiran tenaga kerja kami juga tidak ditangani dengan sewajarnya untuk memastikan Pulau Pinang menjadi mampan, berdaya huni, pintar dan antarabangsa.

NGO itu yang merupakan gabungan longgar 14 kumpulan, mengulas kenyataan Exco Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, yang mengetuai jawatankuasa perancangan bandar, desa dan perumahan

Jagdeep menimbulkan kebimbangan tentang ketiadaan maklum balas orang ramai mengenai PSP2020 selepas taklimat awam mengenainya diadakan pada 8 Disember tahun lalu.

Sementara itu, para aktivis mengingatkan kerajaan bahawa penyertaan awam dalam proses perancangan termaktub dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

[Baca berita penuh]