Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa gambaran buruk yang seringkali diterima pihaknya kini berpunca daripada masalah persepsi masyarakat di negara ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata persepsi yang timbul hari ini menggambarkan seolah-olah SPR hanya ingin memenangkan satu pihak sahaja dalam sesebuah pilihan raya.

“Persepsi kini seolah-olah menggambarkan SPR buat sesuatu kerana nak pihak-pihak tertentu menang.

“Jadi, kami kena buat sesuatu tentang perkara ini dan beri penjelasan kepada mereka,” kata Hashim dipetik Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hashim berkata bagi menangani masalah persepsi masyarakat media sosial dan media cetak disaran memainkan peranan mereka dalam memberikan penjelasan.

Selain itu, menurut Mohd Hashim SPR juga kini giat menghasilkan video-video berhubung kaedah dan proses dalam pilihan raya yang berlangsung, bagi memberi kefahaman kepada semua pihak.

“Antara contoh persepsi yang timbul, terdapat pihak mendakwa kita menukar tong undi ketika pilihan raya berlangsung.

“Tapi, macam mana kita nak tukar tong undi sedangkan wakil calon ada di dalam tempat mengundi, malah tong undi juga dibuka dulu kepada mereka iaitu wakil calon,” katanya.

Oleh demikian ujar Mohd Hashim berkata, menjadi keutamaan SPR buat masa ini adalah untuk memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai sistem mengundi yang sebenar di negara ini.

Tarikh PRU14

Sementara itu mengulas spekulasi tarikh sebenar pilihan raya umum (PRU) 14 Mohd Hashim berkata pihaknya sendiri masih dalam tanda tanya.

"Kami sendiri tidak tahu bila Dewan Rakyat akan dibubarkan, senang cerita tidak nampak 'anak bulan' lagi.

"Selagi tidak dapat surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, memang tiada siapa yang tahu," kata Mohd hashim.

Bagaimanapun kata Mohd Hashim, SPR mengambil jalan mudah iaitu apabila Dewan Rakyat dibubarkan barulah pihaknya akan memulakan mesyuarat dan membincangkan perkara berkaitan PRU.

"Apabila Dewan Rakyat dibubarkan barulah pihak kami boleh mulakan mesyuarat dan bincangkan perkara ini, seterusnya memilih tarikh yang sesuai untuk PRU," kata mohd Hashim.

Buat masa ini kata Mohd Hashim rakyat boleh meramalkan situasi berkenaan mengikut pandangan mereka sendiri.

Selain itu, Mohd Hashim juga turut melahirkan kebimbangan kerana terdapat lebih 4 juta rakyat Malaysia yang sudah layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Perkara yang menjadi kebimbangan SPR kini adalah generasi muda yang tidak keluar mengundi.

"Mengundi ini satu tanggungjawab penting terhadap negara tetapi kenapa ramai yang tidak melakukannya?" soal Mohd Hashim.

Generasi muda

Laporan sebelum ini menunjukkan ramai golongan muda terdiri daripada mahasiswa tidak mendaftar sebagai pemilih .

Malah 40 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang layak mengundi adalah daripada generasi muda.

Tambah Mohd Hashim, orang ramai hari ini diminta tidak lagi salah faham dan mengaitkan SPR dengan perihal politik dalam negara.

Kata Mohd Hashim, apa yang perlu rakyat lakukan kini adalah keluar mengundi sekiranya tidak bersetuju dengan mana-mana parti sedia ada.

"Selain itu, kami di SPR ingin menegaskan bahawa jika rakyat menyokong parti mana pun, itu bukan menjadi kepentingan kami tetapi yang kami pentingkan ialah jumlah yang keluar mengundi, " kata Mohd Hashim.