Pasaran modal Malaysia terus menjadi sumber pengumpulan dana serta pelaburan yang memanfaatkan sebagaimana dibuktikan menerusi kejayaan meraih sejumlah RM978 bilion sejak sedekad lepas.

Ketika berkongsi kejayaan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pasaran modal turut disokong oleh pengantara dan industri pengurusan dana yang luas dan dikawal selia oleh kerangka pengawalseliaan kondusif di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Pembangunan Malaysia serta kebanyakan inisiatif awam dan swasta ternyata dipermudahkan menerusi penyediaan pembiayaan yang besar," katanya.

Beliau yang juga menteri kewangan, berkata demikian dalam ucap tama di Forum Dana Pelaburan Antarabangsa 2017 di ibunegara hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Mengulas selanjutnya, Najib berkata pasaran bon dan sukuk yang serba maju di Malaysia dan dilengkapi oleh pasaran ekuiti, juga membolehkan usaha pengumpulan dana secara berkesan serta kompetitif yang merentasi pelbagai tempoh serta industri.

Malah, kata Perdana Menteri, pasaran modal Malaysia secara keseluruhannya antara yang terbesar di rantau ini manakala pasaran sukuk yang diterajui negara ini di peringkat dunia pula menyumbang 54 peratus daripada jumlah sukuk global setakat akhir tahun 2015.

"Selain itu, struktur kemudahan pasaran sukuk yang berteraskan prinsip-prinsip Syariah yang luas membolehkan penerbit memilih (produk) yang menepati profil aset dan keperluan aliran tunai masing-masing.

"Pasaran modal Islam Malaysia juga meningkat lebih tiga kali ganda bagi tempoh antara 2005 dan 2015, memaparkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 12 peratus," katanya.

Menurut Najib, bersandarkan saiz pasaran sebanyak RM1.7 trilion setakat November tahun lepas, pasaran modal Islam Malaysia mewakili 60 peratus daripada jumlah pasaran modal negara ini dan merupakan satu ekosistem yang komprehensif.

Selain pembangunan pasaran sukuk, SC turut melakukan pelbagai usaha bagi mempertingkatkan bidang dana Islam dan membolehkan Malaysia muncul kedua terbesar dari segi aset di bawah pengurusan dana Islam di peringkat dunia, katanya.

Mengulas ekonomi Malaysia secara keseluruhannya, perdana menteri berkata pendapatan negara kasar meningkat hampir 50 peratus bagi tempoh antara 2009 dan 2015 hasil usaha pembaharuan kerajaan serta pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi.

Malah, sejumlah 1.8 juta pekerjaan juga dapat diwujudkan sepanjang tempoh berkenaan.

Najib berkata, pelaksanaan dasar gaji minimum juga berjaya mengeluarkan seramai 2.9 juta orang daripada belenggu kemiskinan selain mengurangkan kadar itu kepada kurang satu peratus.

"Saya amat gembira untuk menyatakan bahawa pendapatan isi rumah di bawah 40 peratus sudah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 12 peratus, malah lebih tinggi daripada purata sebanyak lapan peratus di peringkat nasional sejak 2009," katanya.

Perdana menteri berkata, kadar pengangguran juga rendah sebanyak 3.5 peratus manakala inflasi mencatat 1.3 peratus pada suku ketiga tahun lepas.

Sementara itu, forum sehari yang dianjurkan bersempena pelancaran Rangka Tindakan Dana dan Pengurusan Kekayaan Islam, turut membincangkan hala tuju dan prospek industri pengurusan pelaburan, potensi pertumbuhan dana-dana Islam dan segmen pengurusan kekayaan serta minat ketara terhadap pelaburan secara mampan dan bertanggungjawab.

- Bernama