Posting berkaitan Adenan: K'tangan k'jaan direman 3 hari
Kakitangan kerajaan yang ditahan semalam berhubung posting di laman Facebook mengenai Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem direman sehingga 15 Januari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata perintah tahanan reman selama tiga hari itu dikeluarkan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali hari ini.
Beliau berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan dijadual dibawa ke Kuching, Sarawak, pada pagi esok.
"Suspek ditahan pada pukul 5 petang semalam semasa hadir di IPD Kuantan selepas polis mengenal pasti dan meminta dia untuk datang bagi membantu siasatan," katanya semasa dihubungi di Kuantan hari ini.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar mengesahkan tangkapan suspek ekoran maklumat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak.
Beliau berkata polis turut merampas telefon bimbit suspek dan sepasukan polis dari Sarawak akan ke Kuantan hari ini untuk mengiringi suspek ke Kuching bagi siasatan lanjut.
Dev berkata setakat pukul 8 malam semalam, sebanyak 37 laporan polis dibuat di 12 daerah polis terhadap beberapa pemegang akaun facebook yang didakwa telah membuat posting atau komen berbaur fitnah berhubung kematian ketua menteri Sarawak.
- Bernama

