Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa syarikat-syarikat minyak nasional Asia supaya berkongsi pelaburan untuk meneroka industri minyak dan gas di Asia bagi menyedia bekalan tenaga dalam jangka masa panjang dan mengelak berlakunya persengketaan wilayah.

Perdana Menteri yakin kerjasama seumpama itu dapat meminimumkan persengketaan wilayah sama ada untuk merebut kawasan kepulauan atau di kawasan sempadan yang timbul akibat prospek yang baik bagi mengeksplorasi minyak dan gas di kawasan-kawasan berkenaan.

Dalam ucaptamanya di Persidangan Minyak dan Gas Asia anjuran Petronas di Kuala Lumpur hari ini , Abdullah berkata, kawasan di Laut China Selatan sebagai contoh di mana berlaku banyak persengketaan itu.

Katanya, cabaran mewujudkan kerjasama tersebut menjadi satu cabaran ketika semua pengguna Asia berdepan dengan ancaman harga minyak dan gas yang tinggi, manakala matlamat firma minyak nasional pula ialah untuk mendapatkan sumber tenaga masa depan.

Menurut Perdana Menteri, menjelang 2020, Asia memerlukan sehingga 33 juta tong minyak sehari atau 30 peratus penggunaan keseluruhan minyak yang menyebabkan perlumbaan bagi mendapatkan tenaga di rantau ini menjadi bertambah sengit.

Menurut laporan Bernama , pada masa ini, rantau Asia membekalkan kira-kira 24 juta daripada 84 juta tong permintaan global minyak sehari.

Berucap kepada lebih 1,200 peserta tempatan dan asing dari sektor minyak dan gas dari 47 negara, beliau percaya percaya kerjasama seumpama itu boleh dicapai kerana syarikat minyak nasional Asia pernah bekerjasama dalam pelbagai usahasama sebelum ini.

Tingkat hubungan komersial

Bagi negara-negara pengimport minyak pula, Perdana Menteri berkata, diplomasi tenaga seperti itu akan dapat mengurangkan pergantungan kepada sumber luaran dari luar rantau ini.

Katanya melalui diplomasi tenaga yang membina, wujud kemungkinan yang besar negara-negara yang bergantung kepada minyak seperti Jepun dan Korea Selatan, akan mengurangkan amalan semasa yang bergantung kepada simpanan stok minyak dan gas yang akhirnya akan mengenepikan tekanan kritikal yang membabitkan tahap harga komoditi itu.

Pada yang sama, tegas Abdullah, negara-negara pengeksport minyak bersih, boleh menjadi kerjasama seperti itu sebagai satu asas untuk meningkatkan hubungan komersial di keseluruhan sektor itu yang termasuk pembangunan gas asli, solar dan kuasa geo-termal.

Katanya, kerjasama seperti itu hendaklah diperluaskan melangkaui inisiatif dasar yang bermatlamat melegakan keadaan permintaan dan bekalan di kalangan negara-negara Asia.

Kerjasama ini, tembahnya, hendaklah termasuk kerjasama teknologi bagi menambah baik kecekapan eksplorasi, meningkatkan pengeluaran sumber, memajukan sumber bahan api alternatif dan melindungi alam sekitar.

Beliau berkata, teknologi di masa hadapan kemungkinan dapat digunakan oleh syarikat-syarikat minyak untuk mendapatkan sumber dari telaga bukan konvensional yang seterusnya akan memastikan kemapanan jangka panjang rezab global.

"Daripada menggunakan bajet eksplorasi yang biasanya berjumlah berbilion setiap tahun, adalah mungkin bagi para pelabur industri menyalurkan dana itu kepada syarikat seperti firma bio-teknologi atau pengeluar auto untuk membantu memajukan sumber bahan api alternatif," katanya.