Pensyarah dakwa wujud salahlaku di UM
Amalan pilih kasih dalam urusan kenaikan pangkat kakitangan akademik, tindakan mengawasi e-mel dalaman dan perbuatan meminda markah pemeriksaan pelajar, adalah antara salahlaku yang didakwa berlaku di universiti tertua di negara ini Universiti Malaya (UM).
Amalan pilih kasih dalam urusan kenaikan pangkat kakitangan akademik, tindakan mengawasi e-mel dalaman dan perbuatan meminda markah pemeriksaan pelajar, adalah antara salahlaku yang didakwa berlaku di universiti tertua di negara ini Universiti Malaya (UM).
Pensyarah UM, Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez berkata terdapat dakwaan bahawa urusan kenaikan pangkat di universiti tersebut tidak dilakukan sepertimana sepatutnya.
"Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan oleh beberapa pensyarah itu. Ahli-ahli Kesatuan (Kakitangan Akademik UM) turut menganggotai jawatankuasa berkenaan. Kami mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan tersebut," kata Gomez yang juga Naib Presiden kesatuan tersebut ketika diwawancara malaysiakini baru-baru ini.
Sambil menegaskan bahawa siasatan tersebut adalah sulit, beliau berkata, satu laporan mengenainya telah dihantar kepada Naib Canselor UM Prof Dr Hashim Yaacob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh tahun lalu, tetapi sehingga ini tiada tindakan diambil.
"Kami meminta menteri berkenaan dan naib canselor supaya menjalankan siasatan awam menjalankan siasatan bebas bagi memastikan semua urusan kenaikan pangkat dilakukan secara telus dan terbuka," katanya.
Markah tambahan
Gomez, yang bertugas di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, terpaksa meletakkan jawatan baru-baru ini selepas universiti itu menolak permohonannya untuk mendapatkan cuti pelepasan selama dua tahun bagi mengetuai projek penyelidikan di sebuah agensi Bangsa-bangsa Bersatu.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, kerajaan untuk membatalkan keputusan UM tersebut dan meluluskan cuti tanpa gaji Gomez. Kementerian Pengajian Tinggi juga membatalkan perletakan jawatannya.
Sementara itu, Gomez juga mendedahkan bahawa pihak berkuasa universiti itu turut memantau sistem e-mel dalaman, dengan alasan untuk menyekat penyebaran bahan-bahan lucah.
"Sistem e-mel kini dipantau bagi memastikan bahan-bahan yang tidak disenangi oleh pihak universiti tidak disebarkan. Kami rasa ini tidak patut berlaku. Ini bukan negara polis. Ini sebuah universiti," katanya.
Satu lagi isu yang dibangkitkan oleh Gomez ialah perbuatan meminda markah pelajar bagi meningkatkan kadar kelulusan di universiti tersebut.
Beliau memberi contoh satu kertas peperiksaan di mana ramai pelajar gagal, tetapi jabatan terbabit memutuskan untuk memberi tambahan 13 peratus markah kepada semua pelajar, walaupun dibantah oleh pihak pensyarah.
"Kesatuan Kakitangan Akademik (UM) memandang berat perkara tersebut kerana para pensyarah telah dirampas kuasa mereka dalam memeriksa dan memberi markah bagi kertas peperiksaan," katanya.

