Negara Islam: Hadi digesa hormati manifesto BA
Parti Keadilan Nasional hari ini menggesa Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang agar menghormati manifesto pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum 1999 dan tidak lagi menimbulkan isu untuk melaksanakan negara Islam.
Keadilan juga menggesa DAP, khususnya Timbalan Pengerusi Karpal Singh, agar tidak mengambil "pendirian keras" terhadap kenyataan Abdul Hadi berhubung isu itu.
"Barisan Alternatif mesti berpegang kepada janji mereka untuk membina negara Malaysia yang adil dan demokratik," kata Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar dalam kenyataannya kepada malaysiakini .
Awal minggu ini, Karpal dilaporkan berkata DAP tidak mempunyai pilihan lain kecuali keluar daripada pakatan itu jika PAS meneruskan hasratnya itu.
"Jelas sekali PAS memang berhasrat menubuhkan negara Islam. DAP tidak boleh dan tidak akan menerimanya," kata Karpal dua hari lalu, mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Azizan Abdul Razak yang mempertahankan pendirian Abdul Hadi.
"Penentangan kami terhadap negara Islam sudah muktamad. Jika PAS enggan menghormati Perlembagaan Persekutuan, yang secara jelas mempertahankan negara sekular, DAP tidak sanggup lagi bersama dengan PAS."
Sehari sebelum itu Abdul Hadi, juga Menteri Besar Terengganu, berkata DAP tidak akan menolak pelaksanaan negara Islam jika mereka mendapat gambaran jelas konsep sebenar yang ingin dibawa oleh parti Islam itu.
Dr Chandra berkata, PAS harus menyedari idea negara Islam bukan sahaja tidak disokong oleh tiga lagi parti pembangkang dalam pakatan BA tetapi juga menghadapi tiga lagi halangan - kekurangan pengundi Melayu-Islam di pantai barat Semenanjung, jumlah besar pengundi bukan Melayu-Islam di negara ini, dan juga penduduk Sabah dan Sarawak (yang tidak bersama PAS).
Malah, kata bekas ahli akademik itu lagi, "hampir mustahil" bagi PAS melaksanakan negara Islam yang diharapkanya jika dikaji dari sudut Perlembagaan Persekutuan.
"(Ini) kerana PAS mesti mengubah struktur perundangan dan pentadbiran negara ini dahulu (sebelum menubuhkan negara Islam). (Dan perubahan itu) hanya boleh dilaksanakan apabila sebahagian besar perlembagaan itu dipinda melalui sokongan undi dua pertiga di Parlimen," kata Dr Chandra lagi.
Setiausaha Agung DAP sebelum ini berkata kenyataan Abdul Hadi itu boleh menimbulkan "krisis yang serius" kepada pakatan pembangkang.
"Beliau tahu menubuhkan negara Islam bukan objektif Barisan Alternatif, kenyataannya itu telah wujudkan krisis yang serius kepada BA," katanya.
Pengerusinya Lim Kit Siang pula berkata penubuhan negara Islam "bercanggah dengan manifesto bersama BA" ketika pilihan raya umum lalu.
Katanya, isu itu dibantah DAP bukan kerana anti-Islam tetapi sistem pemerintahan yang dihasratkan oleh PAS itu "tidak akan membolehkan rakyat mengamalkan hak-hak kewarganegaraan mereka" dan juga "tidak sesuai bagi masyarakat majmuk seperti Malaysia."
Awal minggu ini, Karpal juga mengkritik Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dilaporkan berkata "mewujudkan negara Islam di Malaysia tidak mustahil kerana perbincangan tentang perkara itu masih lagi berjalan."
Bagaimanapun Dr Chandra menafikan pakatan pembangkang pernah berbincang hal itu dalam siri dialognya bulan lalu.

