Petronas tidak menarik diri daripada projek South-Par Gas di Iran, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Mohd Hassan Merican hari ini.

Katanya, Petronas kini sedang menilai semula kriteria pembiayaan untuk projek itu dan masih lagi terus berbuat demikian.

"Perbincangan untuk terma-terma komersil dengan pihak yang terbabit masih lagi berlangsung," katanya kepada pemberita di Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-10 anjuran Petronas di Kuala Lumpur hari ini.

Pada awal bulan lalu, Mohd Hassan telah dipetik sebagai Petronas dilaporkan mungkin menarik diri daripada satu usahasama tersebut jika terma komersialnya tidak menepati kriteria kewangan syarikat minyak negara itu.

Projek yang dilaksanakan bersama Total SA dari Perancis itu membabitkan penyertaan dalam sebuah loji pembangunan hiliran Gas Asli Cecair (LNG).

Petronas dilaporkan mempunyai kepentingan 20 peratus di dalam syarikat Pars LNG Production yang diwujudkan pada tahun lalu untuk membangunkan kemudahan bernilai AS$2 bilion (RM7.60 bilion) di Iran itu.

Kepentingan 40 peratus

Total mempunyai kepentingan 30 peratus dan National Iranian Gas Export Company (Nigec) memegang bakinya.

Berasaskan laporan berita, seorang jurucakap Petronas telah dipetik menyatakan bahawa perbadanan minyak negara itu kemungkinan menghadkan peranannya di bahagian huluan sahaja di dalam projek itu.

Petronas turut mempunyai kepentingan 40 peratus dalam pembangunan fasa 11 telaga gas South Pars yang dibangunkan di bawah kontrak pembelian blok berasingan, dengan Total memegang 60 peratus.

Berikutan itu, dalam lawatannya ke Iran pada 12 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Iran berkata 'kebuntuan' berhubung masa depan pelaburan Petronas di negara itu telahpun berjaya diselesaikan.

Oleh, Abdullah dilaporkan berkata, Petronas akan terlibat secara aktif dalam bidang penerokaan cari gali minyak dan gas di negara berkenaan.

Sementara itu, Mohd Hassan juga memberitahu pemberita hari ini, bahawa Petronas turut mengadakan perbincangan di Iraq berkaitan penglibatannya dalam sektor minyak dan gas di sana.

Beliau menambah yang tiada syarikat minyak dan gas yang boleh mengenepikan Iraq sebagai sumber rizab dan pelaburan yang baru.