Cherie Blair ke Msia beri syarahan dan hadiri majlis amal
Cherie Blair, isteri Perdana Menteri British, Tony Blair, akan ke Malaysia bulan depan untuk menyampaikan syarahan mengenai perundangan dan menghadiri satu majlis amal.
Cherie Blair, isteri Perdana Menteri British, Tony Blair, akan ke Malaysia bulan depan untuk menyampaikan syarahan mengenai perundangan dan menghadiri satu majlis amal.
Beliau menjadi tumpuan berikutan kontroversi yang tercetus di London selepas dilaporkan dibayar AS$55,000 untuk satu syarahan yang disampaikannya di Washington bulan lalu.
"Kehadirannya (di Malaysia) adalah untuk menghadiri satu majlis amal dan menyampaikan syarahan mengenai perundangan," kata seorang jurucakap pejabat Perdana Menteri di London.
Akhbar The Sunday Times melaporkan, Puan Blair, yang merupakan seorang peguam yang dihormati, akan menyampaikan syarahan itu di Kuala Lumpur pada 26 Julai depan serta menghadiri majlis amal.
BBC melaporkan, Puan Blair telah diminta menimbang semula hasratnya untuk menyampaikan syarahan tersebut, kecuali beliau bersedia bercakap secara terus terang mengenai rekod hak asasi di Britain.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Lim Kit Siang memberitahu BBC, sebagai seorang peguam hak kebebasan awam, Puan Blair harus bersedia untuk berdepan dengan isu-isu seumpama itu.
Manakala Timbalan Presiden PAS yang baru, Nasharuddin Mat Isa, pula berkata, adalah tidak sesuai bagi Puan Blair menyampai syarahan sekiranya beliau sememang berniat untuk mengelak isu-isu sedemikian.
Bagaimanapun, Puan Blair mungkin berdepan dengan risiko menyinggung pihak kerajaan jika beliau terlalu kritikal atau mengecewakan kumpulan pengempen jika beliau menghindari menangani isu-isu mengenai hak asasi tempatan.
Majlis amal YTL
Majlis amal tersebut adalah sebahagian daripada majlis promosi kompleks butik Starhill, yang dibangunkan oleh syarikat YTL milik hartawan Malaysia, Datuk Francis Yeoh.
Akhbar The Sunday Times melaporkan, YTL menguasai syarikat utiliti British, Wessex Water, tiga tahun lalu dan 'dipercayai mahu menguasai syarikat-syarikat lain di United Kingdom".
Menurut akhbar itu lagi, Puan Blair telah dijemput menginap di resort milik Yeoh di Pangkor Laut, walaupun "sumber" Downing Street berkata beliau tidak akan ke sana.
Puan Blair bercakap selama 90 minit di Washington mengenai Downing Street beberapa jam sebelum ketibaan Blair untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden George W Bush di Rumah Putih.
Manakala parti pembangkang Konservatif menggesa kod etika perilaku menteri-menteri Britain diperluaskan meliputi anggota keluarga perdana menteri bagi menghalang mereka daripada mendapat faedah kewangan daripada kedudukan mereka.

