Perbezaan pandangan secara terbuka berhubung isu negara Islam antara dua tokoh utama PAS dan DAP harus diselesaikan melalui majlis pemimpin tertinggi Barisan Alternatif, cadang Parti Keadilan Nasional hari ini.

Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar berkata Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh harus menyertai majlis itu yang dijadualkan bertemu tidak lama lagi.

Dua lagi langkah penyelesaian yang disarankan adalah: dua parti pembangkang itu harus berhenti membuat kenyataan kepada media berhubung isu itu, dan semua parti komponen BA harus menimbangkan secara serius "cadangan konkrit" yang dikemukakan Keadilan dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun Dr Chandra tidak menyebutkan "cadangan konkrit" itu.

"Kami tidak mengambil pendekatan berselisih pendapat secara terbuka kerana kami sedar kesan-kesannya (buruk) terhadap BA," katanya kepada malaysiakini . "Keadilan mahu BA terus bekerjasama dan berjaya."

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pakatan pembangkang memberikan "harapan terbaik" untuk perubahan secara aman, kata Dr Chandra lagi.

Keadilan menegur Karpal yang sering membangkitkan isu ini. "Mula-mula beliau menggesa DAP meninggalkan BA," katanya. "Kini, beliau mendesak PAS meninggalkan pakatan BA pula."

Laporan muka depan akhbar The Sun hari ini menyebutkan pemimpin DAP itu berkata "lebih baik PAS meninggalkan pakatan BA (jika masih meneruskan agenda negara Islam)." Beliau juga dilaporkan menggesa Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia menegaskan pendirian masing-masing menolak hasrat PAS itu.

Karpal juga mengkritik pemimpin Keadilan berhubung isu ini, kata Dr Chandra. "Padahal dari awal lagi, Keadilan telah berhujah bahawa PAS dan parti-parti lain harus berpegang dengan matlamat BA untuk melahirkan Malaysia yang adil dan demokratik."

Keadilan juga menggesa Abdul Hadi agar menghormati manifesto BA dalam pilihan raya umum 1999 dan tidak lagi menimbulkan isu untuk melaksanakan negara Islam.