Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mengkritik beberapa pihak yang menggesa Naib Canselor universiti itu meletakkan jawatan ekoran kebakaran Dewan Tuanku Canselor (DTC) dua hari lalu.

Menyifatkan kenyataan seumpama itu "mengganggu gugat dan menjatuhkan reputasi kepimpinan tertinggi UM", Presiden MPMUM Mohamad Fuad Mohd Ikhwan menggesa pihak berkenaan menarik balik desakan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada Profesor Datuk Dr Anuar Zaini Mohd Zain.

Persatuan pelajar itu berkata kenyataan Ketua Puteri Umno, Azalina Othman, semalam dan tindakan Presiden Persatuan Pelajar Melayu Kebangsaan, Kalam Azad Abu Bakar, sebagai "tidak bertanggungjawab."

MPMUM juga menganggap kenyataan mendesak peletakan jawatan Anuar sebagai "pencabulan terhadap hak kuasa autonomi" pentadbiran universiti itu.

"MPMUM dan pelajar sebulat suara menyokong kepimpinan Anuar," kata Mohamad Fuad lagi.

Persatuan pelajar itu juga menggesa semua pihak tidak mempolitikkan kebakaran itu sehingga selesai siasatan oleh pihak berwajib.

Menurut akhbar, kejadian kira-kira jam 3 pagi itu memusnahkan 90 peratus dewan bersejarah itu, beberapa hari sebelum satu program pelajar yang dijadualkan melibatkan Perdana Menteri dan timbalannya diadakan di situ.

Jangan buat spekulasi: polis

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin hari ini merayu kepada orang ramai agak tidak membuat spekulasi mengenai punca kebakaran itu.

Menurut agensi berita Bernama , polis masih menjalankan siasatan punca kebakaran itu daripada pelbagai sudut dan berharap orang ramai tidak mudah membuat kesimpulan sendiri.

"Kita masih lagi menunggu laporan daripada beberapa agensi, misalnya jabatan kimia, bomba dan Tenaga Nasional," katanya kepada agensi berita itu. "Spekulasi yang menyatakan penuntut UM yang terlibat, kita tidak boleh terburu-buru membuat kesimpulan dan kita (polis) tidak menuding jari kepada sesiapa."

Malaysiakini semalam difahamkan seorang pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam universiti itu dipanggil untuk siasatan polis. Bagaimanapun, siasatan itu dipercayai ada kaitan dengan pengedaran risalah yang mengajak siswa membantah kehadiran Dr Mahathir Mohamad ke acara itu.

Akhbar Sunday Star hari ini melaporkan polis menyiasat beberapa orang saksi, termasuk pelajar, berhubung kejadian itu. Bagaimanapun Meor Chek Hussein berkata saksi-saksi itu bukannya orang yang disyaki atau terlibat dalam kebakaran itu.

Semalam Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) menggesa semua pihak, termasuk pemimpin negara, menghentikan kenyataan awal yang cuba membabitkan siswa dalam kejadian itu.

Presidennya Mahadi Sukarno berkata persatuan itu "memandang berat" beberapa kenyataan yang mendakwa seolah-olah pelajar-pelajar Universiti Malaya terlibat dengan kebakaran itu.