Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia belasah Kazakhstan 13-1
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 6:48 AM
Dikemaskini: 10:54 PM

Malaysia muncul naib juara Kumpulan B selepas melengkapkan jadual pusingan awal dengan membelasah Kazakhstan 13-1 pada pusingan kedua Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) di Stadium Tun Razak malam tadi.

Selepas kalah 2-1 kepada juara kumpulan, Ireland kelmarin, Malaysia mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan mengutip enam mata dengan dua kemenangan selepas membenam Hong Kong 9-0 pada perlawanan pembukaan, Ahad lepas.

Malaysia akan menentang Thailand pada saingan suku akhir, Khamis ini.

Malaysia, dengan berpakaian serba putih, membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi jaringan padang oleh Nurul Nabihah Mansur.

Bagaimanapun, Kazakhstan melakarkan kejutan apabila dengan pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Vera Donashneva.

Sebelum suku kedua perlawanan, anak didik Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mendahului jaringan menerusi Nor Hasliza Md Ali pada minit ke-14.

Malaysia kemudian memperkemaskan gerakan di barisan depan dengan melancarkan serangan bertali arus dan berjaya membolos bentang pertahanan Kazakhstan sehingga ke akhir perlawanan.

Fatin Shafika Mahd Sukri muncul wirati skuad negara apabila majringkan hatrik pada minit ke-16, 24 dan ke-59.

Penjaring lain terdiri daripada Nuraini Abdul Rashid (18'), Fazilla Sylvester Silin (26', 46'), Nuraslinda Said (28', 54'), Norazlin Sumantri (40'), Hanis Nadiah Onn (44') dan Wan Norfaiezah Md Saiuti pada minit ke-49.

Dhaarma berkata mengutip tiga mata penuh adalah amat penting berbanding jumlah jaringan yang dicipta oleh anak buahnnya.

Mengenai pertemuan dengan Thailand, katanya, mereka tidak akan menghadapi masalah tetapi tidak mahu memandang remeh lawannya pada peringkat kalah mati itu.

Sekira melepasi Thailand, Malaysia dijangka berdepan dengan juara Kumpulan A, Itali di peringkat separuh akhir.

Dalam peringkat suku akhir, Ireland, akan menentang Singapura, Itali berdepan dengan Hong Kong, Malaysia menentang Thailand dan Kazakhstan bertemu Wales.

- Bernama

Lihat Komen
ADS