Terjemahan Universiti Malaya (UM) patut mengumumkan butiran diri pensyarah serta menyatakan sebab-sebab mereka dinaikkan pangkat, kata pensyarah ekonomi universiti tersebut, Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez.

Gomez, yang juga Naib Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM berkata, persatuan itu sudah berulangkali meminta pihak universiti berkenaan berbuat demikian apabila ada pensyarah dilantik sebagai profesor madya atau profesor.

Menurutnya, langkah tersebut akan dapat mengelak dakwaan seperti berlaku pilih kasih dalam amalan kenaikan pangkat para pensyarah.

"Pihak pentadbiran memberitahu kami yang ia tidak akan mengumumkan butiran diri, dengan alasannya ia adalah dokumen sulit. Mereka merasakan tidak sesuai meminta pensyarah berbuat demikian," katanya dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, di universiti-universiti terkemuka yang lain, butiran diri pensyarah diumumkan serta dinyatakan pula sebab mereka diberi kenaikan pangkat itu.

Dalam bahagian pertama wawancaranya yang disiarkan semalam, Gomez bercakap mengenai amalan pilih kasih dalam kenaikan pangkat, sistem e-mel dalam universiti dipantau, manakala markah peperiksaan pelajar UM dipindah.

Berlepas ke Geneva hari ini

Beliau juga mendakwa yang prospek kenaikan kenaikan pangkat bagi pensyarah akan terjejas jika mereka bercakap mengenai isu-isu yang menyentuh universiti tersebut.

Gomez terpaksa meletakkan jawatan pada 8 Mei lalu selepas permohonannya untuk mendapatkan cuti pelepasan bagi bertugas di sebuah agensi penyelidikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditolak oleh UM.

Bagaimanapun, berikutan bantahan pelbagai pihak, Kementerian Pengajian Tinggi telah membatalkan keputusan pihak pentadbiran UM dan meluluskan permohonan cuti pelepasan Gomez.

Beliau akan berlepas ke Geneva hari ini untuk bertugas di Institut Penyelidikan mengenai Pembangunan Sosial PBB selama dua tahun.

Semalam Gomez menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung perkara tersebut.

Q&A: Why I want to stay on with UM