Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) menafikan persatuan pelajar itu menentang kerajaan dan berasa kesal terhadap tindakan Persatuan Pemuda Negara Malaysia (PPNM) yang melaporkan kegiatan Gamis kepada polis semalam.

"Gamis sebenarnya memperjuangkan kebenaran dan keadilan untuk pelajar seperti aduan yang dibuat mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kepada Suhakam dan tujuannya bukan menentang kerajaan," kata presiden Gamis, Kamarulzaman Abdullah.

Gamis, bersama 10 lagi kumpulan pelajar, menghantar aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Sabtu lalu.

Kamarulzaman menjelaskan, Gamis tidak mewakili sesuatu kelompok tetapi gabungan wakil-wakil pelajar daripada Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) pusat pengajian tinggi tempatan.

"Kami sendiri tidak pernah menganggap diri kami (Gamis) sebagai pertubuhan atau 'persatuan Gamis'. Gamis sebenarnya ibarat satu sidang perbincangan meja bulat," kata Kamarulzaman.

Menurutnya lagi, laporan polis PPNM itu seolah-olah dibuat atas desakan daripada parti politik tertentu.

Timbalan Presiden PPNM Ezaruddin Abdul Rahman hari diberitakan telah membuat aduan polis dan mendakwa Gamis cuba mempengaruhi pelajar terlibat dalam dalam kegiatan haram.

'Bergerak bawah tanah'

Laporan polis itu dibuat di balai polis Serdang, Selangor pada jam 1.10 petang semalam.

Ezaruddin dalam laporannya mendesak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas ke atas Gamis dan persatuan pelajar lain yang tidak berdaftar.

Pemuda Umno turut menggesa pengurusan universiti-universiti tempatan mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan-pertubuhan pelajar tidak berdaftar, termasuk Gamis dan Himpunan Mahasiswa Islam Selangor (Hamas), daripada menjalankan kegiatan secara bebas dan berleluasa.

Penolong setiausaha pergerakan itu Zulkifli Mohd Alwi berkata terdapat beberapa pertubuhan pelajar "yang bergerak secara bawah tanah" di universiti tempatan, selain dua persatuan itu.

Selain itu, menurut Kamarulzaman, laporan akhbar yang menyebut "Gamis adalah pertubuhan tidak berdaftar yang didukung oleh PAS" tidak benar sama sekali.

"Ia adalah tuduhan tanpa bukti dan kami kesal dan dukacita dengan perkara itu," kata beliau.

Katanya lagi, kecenderungan mengaitkan Gamis dengan PAS berpunca daripada tulisan yang disiarkan dalam majalah palsu Varsiti 2001 yang diterbitkan baru-baru ini.

"Dalam majalah itu, saya didakwa menyandang ahli jawatakuasa Pemuda PAS Pulau Pinang. Padahal (dakwaan) itu adalah fitnah. Saya tidak pernah menyandang sebarang jawatan dalam parti itu," tegasnya.

Kepentingan mahasiswa

Setiausaha Agung Gamis Muhammad Faisal Abdul Rahman, yang juga Presiden PMI Universiti Malaya (PMIUM) telah membuat aduan di balai polis Brickfields, Kuala Lumpur pada awal bulan lalu berhubung kandungan Varsiti 2001 yang didakwa diterbitkan secara palsu. Majalah itu memuatkan beberapa rencana yang menggunakan nama pemimpin-pemimpin Gamis dan PMIUM.

Kamarulzaman juga menafikan beliau mengetahui kewujudan Himpunan Mahasiswa Islam Selangor (Hamas).

"Saya hanya mengetahui dan mendengar nama itu (Hamas) apabila membacanya di akhbar, dan saya sendiri tidak pasti siapa menjadi ahlinya," katanya.

Sementara Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) Mahadi Sukarno berkata, perbezaan pendapat yang diutarakan oleh Gamis kepada kerajaan atau pihak-pihak tertentu lahir daripada kehendak pelajar sendiri.

"Ia bukan disokong atau ditentukan mana-mana pihak atau parti pembangkang. Mungkin apa yang kami perjuangkan itu kebetulan sama dengan apa yang parti pembangkang utarakan," katanya kepada malaysiakini .

"Walaupun Gamis tidak berdaftar tetapi ia mewakili persatuan Islam (yang sah) bagi menjaga kepentingan mahasiswa dan masyarakat."

Menurutnya, Gamis tidak harus dilabel sebagai pertubuhan antikerajaan atau terbabit dengan "gerakan militan."

Menunggu laporan polis

Peranan Gamis tidak ubah seperti Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), sebuah lagi gabungan pemimpin-pemimpin pelajar dari beberapa pusat pengajian tinggi.

"Seperti Gamis, BBMN diwakili oleh setiap ketua perwakilan pelajar (yang sah) di universiti walau ia juga tidak didaftar sebagai persatuan atau pertubuhan," katanya.

Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohammad hari ini dilaporkan berkata kementerian masih menunggu laporan siasatan polis sebelum bertindak selanjutnya.

Sementara itu, Pemuda Parti Keadilan Nasional hari ini berkata tindakan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Sains Malaysia untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap enam pelajarnya esok sebagai "menyalahgunakan kuasa."

Naib Ketua Pemudanya Low Chee Chong berkata tidak munasabah universiti itu mensabitkan kesalahan menjual lencana kempen 'Mansuhkan ISA.'

Beliau turut mengkritik Jabatan Keselamatan USM yang mengganggu dan menjalankan soal siasat terhadap dua pelajar wanita ketika menyertai kempen tandatangan tengahari tadi untuk menyokong enam pelajar tersebut.

"Jabatan Keselamatan telah bertindak di luar bidang kuasa mereka kerana kempen tandatangan tiada kena mengena dengan keselamatan kampus," katanya.