Universiti Cambridge tidak bercadang buka kampus cawangan di Msia
Terjemahan Universiti terkemuka di dunia Universiti Cambridge tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka kampus cawangannya di Malaysia sepertimana yang dilaporkan baru-baru ini.
Terjemahan Universiti terkemuka di dunia Universiti Cambridge tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka kampus cawangannya di Malaysia sepertimana yang dilaporkan baru-baru ini.
"Universiti Cambridge juga tidak mempunyai rancangan untuk membuka kampus cawangan di negara-negara lain," kata Cerris Tavinor daripada pejabat media dan penerbitan universiti tersebut, melalui emel.
Rabu lalu, akhbar New Straits Times memetik seorang pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai berkata, perbincangan sedang diadakan dan kemungkinan besar universiti berkenaan akan membuka kampus cawangannya di sini.
Laporan itu juga menyebut, mesyuarat mengenainya turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak; Wakil Khas Kemeterian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohd Effendi Norwawi dan para pegawai kementerian berkenaan.
Kerjasama di bidang akademik
Bagaimanapun, Tavinor menjelaskan bahawa perbincangan yang dilaporkan itu adalah mengenai projek-projek penyelidikan akademik.
Katanya, Kolej St Catherine, selaku kolej perunding bagi Universiti Cambridge University, telah menerajui perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk memperkukuhkan lagi hubungan pendidikan sedia ada di antara kedua belah pihak.
Kerjasama tersebut, katanya, bertujuan untuk membiayai dan memudahkan projek-projek penyelidikan yang akan dijalankan di samping membawa tokoh-tokoh akademik Cambridge ke Malaysia.
"Perbincangan tersebut masih di peringkat awal dan tiada sebarang keputusan dibuat mengenai bentuk kerjasama tersebut," katanya.
Pada masa ini, Universiti Cambridge salah sebuah universiti tertua di dunia dan yang terbesar di United Kingdom tidak mempunyai sebarang kampus cawangan di luar negara.
Kerajaan Malaysia sedang berusaha menjadikan negara ini pusat pendidikan dan telah mempelawa universiti luar negara supaya membuka cawangan mereka di sini.
Pada masa ini, terdapat dua universiti luar negara yang membuka kampus cawangan mereka di Malaysia Universiti Monash (Australia) dan Universiti Nottingham (United Kingdom).

