Sarawak masih menunggu jawapan daripada kerajaan pusat berhubung permintaan kerajaan negeri itu supaya royalti dan gas ditambah, kata Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh.

Menjawab soalan Chiew Chiu Sing (DAP-Kidurong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching hari ini, Wong berkata perkara itu sentiasa dirundingkan dengan kerajaan persekutuan.

"Sehingga ini belum ada respons daripada kerajaan persekutuan dan kita akan teruskan perkara itu," katanya yang menambah permintaan itu dibuat setelah mengambil kira kepentingan penduduk Sarawak.

Menurut laporan Bernama , Wong berkata dua komoditi itu menjadi sumber utama pendapatan negeri dan telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negeri.

Mengenai royalti yang diterima daripada kerajaan persekutuan, beliau berkata sejak lima tahun lepas Sarawak menerima sejumlah kira-kira RM3.5 bilion.

Beliau berkata pada 2000, royalti yang diterima berjumlah RM627 juta, 2001 (RM725 juta), 2002 (RM558 juta), 2003 (RM729 juta) dan 2004 (RM898 juta).

Mengenai pengeluaran minyak mentah sejak 2000, Wong berkata ia membabitkan purata 128,600 tong sehari.

Bagi pengeluaran gas asli dalam tempoh yang sama, Wong berkata purata pengeluaranya ialah 2,940 juta kaki padu sehari.

Manakala bagi kondensasi iaitu gas asli cecair yang ditemui bersama-sama bukan gas, tidak berwarna dan lebih ringan daripada minyak mentah, berjumlah berjumlah 72,400 tong sehari.