Kerajaan PAS akan membenarkan semula permainan snuker dan biliard serta karaoke beroperasi di Kelantan selewat-lewatnya hujung tahun ini dengan beberapa syarat tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu akan dibincangkan secara lebih mendalam di mesyuarat exco sebelum diluluskan.

"Dan saya tidak nampak ada masalah besar," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Sejak PAS memerintah Kelantan pada 1990, semua aktiviti snuker, biliard dan karaoke tidak dibenarkan kerana ia dianggap berbentuk perjudian dan maksiat.

Bagi membendung aktiviti itu, kerajaan negeri memperkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankannya.

Menurut laporan Bernama , Takiyuddin berkata snuker dan biliard kini tidak lagi ditakrifkan sebagai aktiviti hiburan.

Mesti pohon lesen

Sebaliknya, kata beliau, ia kini berbentuk aktiviti sukan dan dengan itu kerajaan negeri sedia untuk tidak memasukkannya dalam enakmen berkenaan.

"Kerajaan negeri banyak menerima permohonan agar aktiviti snuker dan biliard dibenarkan beroperasi semula tetapi disebabkan ia masih menjadi dasar, kerajaan negeri tidak mengizinkan lagi," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri akan mengenakan syarat iaitu lesen aktiviti itu mesti dipohon oleh persatuan snuker dan biliard yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan selain hanya ahli persatuan itu sahaja yang dibenarkan bermain tanpa ada unsur perjudian.

Selain itu, kedudukan premis permainan itu bukan di tempat tersorok atau di lot yang disewa melalui pasaraya bagi mengelakkan ia disalah guna untuk tujuan berjudi.

"Kita akan berbincang dengan Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan untuk mengenal pasti persatuan dan anggota mereka," katanya.

Mengenai karaoke pula, Takiyuddin berkata kerajaan negeri berkemungkinan akan meluluskan lesen karaoke hanya untuk mereka yang membawa keluarga semata-mata.

Panggung wayang

Katanya syarat lesen itu akan diperketatkan lagi seperti tidak ada bilik-bilik tertentu dan juga hanya untuk lagu-lagu yang tidak keterlaluan seperti nasyid.

"Ketika ini di pasaran banyak karaoke kumpulan nasyid dan apa salahnya jika hanya keluarga sahaja dibenarkan untuk berhibur dalam keadaan tidak keterlaluan," katanya.

Takiyuddin juga berkata kerajaan negeri belum menerima sebarang permohonan dari mana-mana pihak untuk membuka panggung wayang di negeri itu.

Katanya adalah tidak benar kerajaan negeri mengharamkan panggung wayang seperti dakwaan sesetengah pihak sebaliknya ketiadaan panggung wayang di Kelantan ketika ini disebabkan pengurusan gulung tikar dan masyarakat lebih gemar menonton filem-filem terbaru di rumah masing-masing.

"Kalau ada permohonan, kita akan timbang dan benarkan asal mengikut syarat agar tidak dijadikan tempat maksiat," katanya.

Sebelum ini, panggung wayang yang pernah beroperasi di Kelantan disyaratkan memasang lampu kecil agar suasana tidak gelap sepenuhnya.