Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima SJKT di Melaka terima peruntukan RM360,000
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 3:17 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Sebanyak lima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Melaka menerima peruntukan khas RM360,000 daripada Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata peruntukan itu disediakan kerajaan persekutuan di bawah Bajet 2016 bagi pembangunan dalam sekolah untuk SJKT berkenaan.

Katanya peruntukan itu perlu dibelanjakan secara berhemah, terutama memperbaiki infrastruktur dan kemudahan di sekolah yang sudah rosak termasuk melakukan pendawaian semula dan memperbaiki bumbung sekolah.

"Kami di kementerian akan memantau... saya sendiri telah mewujudkan jawatankuasa kecil untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima peruntukan. Kami akan melakukan lawatan mengejut ke sekolah ini.

"Sekiranya peruntukan ini tidak digunakan dengan cara yang betul, tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan khas penyelenggaraan kecil 2016 di negeri ini di Alor Gajah hari ini.

SJKT yang menerima peruntukan itu ialah SJKT Ladang Sungai Baru; SJKT Ladang Serkam; SJKT Ladang Bukit Asahan; SJKT Ladang Bukit Kajang dan SJKT Ladang Gadek.

Kamalanathan berkata bagi fasa pertama 2016, kerajaan telah memperuntukkan RM16.5 juta bagi 251 SJKT mengikut negeri dan beliau berharap lebih banyak peruntukan kerajaan persekutuan disalurkan untuk pembangunan sekolah Tamil di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian berhasrat untuk mewujudkan lebih ramai pemimpin pelajar yang lantang bersuara dan mampu membantu kerajaan menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi melancarkan TN50 dan meluangkan masa berdialog bersama golongan sasar, belia dari seluruh negara bagi mendapatkan input keperluan warga Malaysia pada masa depan.

TN50, yang digagaskan Najib, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

- Bernama

Lihat Komen
ADS